KUALA LUMPUR – Umat Islam di Malaysia tidak akan berdiam diri dan akan terus bangkit membela nasib rakyat Palestin yang ditindas oleh kuasa dunia seperti Amerika Syarikat (AS).
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata keputusan mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel adalah amat bertentangan dengan undang-undang antarabangsa dan hak kemanusiaan khasnya kepada rakyat Palestin.
“Hormatilah undang-undang antarabangsa, apa yang kamu (AS) buat adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, bertentangan dengan hak kemanusiaan.
“Ini adalah tindakan keterlaluan yang tidak dapat diterima oleh umat Islam seluruh dunia, kita tidak akan berhenti sehingga kamu menyerahkan tanah milik Palestin kepada rakyatnya,” katanya ketika berucap di hadapan ribuan umat Islam yang membuat demonstrasi secara aman di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat di sini sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia dengan rakyat Palestin.
Sebelum itu, Khairy yang juga Menteri Belia dan Sukan, telah menyerahkan satu memorandum bantahan kepada wakil kedutaan Amerika Syarikat sebagai mewakili Pemuda UMNO.
Selain anggota Pemuda UMNO, ahli PAS dan anggota beberapa lagi badan bukan kerajaan (NGO) turut serta dalam demonstrasi yang bermula pada jam 2 petang dan berakhir sejam kemudian.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Shaharuddin Abdullah berkata polis telah menahan dua lelaki yang membolosi garisan polis dalam cubaan untuk menyerah memorandum bantahan.
Mereka yang ditahan itu adalah Ketua Pemuda UMNO Cawangan Bandar Bukit Jalil, Datuk Nur Aliff Mohd Tafid dan Rozan Azen Mat Rasip yang merupakan setiausaha kepada Anggota Parlimen Batu, Tian Chua, katanya ketika dihubungi Bernama. – BERNAMA