MIRI – Jumlah mangsa banjir di Sarawak meningkat kepada 265 orang daripada 66 buah keluarga setakat pukul 12 tengah hari ini, berbanding 161 orang daripada 47 keluarga pagi tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak berkata pusat pemindahan yang baru dibuka hari ini ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Merah di Kapit dengan 56 mangsa banjir daripada tujuh keluarga, menjadikan tiga pusat pemindahan banjir dibuka setakat ini.
“Dua pusat pemindahan banjir di Limbang iaitu di Dewan Masyarakat Trusan kini mempunyai 68 mangsa banjir daripada 14 keluarga manakala Dewan Masyarakat Medamit menempatkan 141 mangsa banjir daripada 45 buah keluarga,” katanya dalam satu kenyataan. – BERNAMA