SELURUH warga UMNO diingatkan agar tidak ikut jejak langkah Tun Dr. Mahathir yang sanggup bersekongkol dengan pembangkang demi menjatuhkan Barisan National (BN) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, kata Datuk Seri Najib Razak.
Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri itu berkata puisi ‘Melayu Mudah Lupa’ yang pernah diungkapkan Mahathir pada Perhimpunan Agung UMNO beberapa tahun dahulu sebenarnya merujuk kepada diri sendiri.
“Bercakap tentang Mahathir pula, dahulu di pentas ini juga beliau mengingatkan kita bahawa, (konon) Melayu mudah lupa.
“Namun pada kita, orang ini sudah melampaui batas apabila tergamak bersubahat dan bersekutu, dengan musuh politik dan musuh prinsip beliau selama puluhan tahun yang lalu.
“Hanya untuk memenuhi tembolok agenda kepentingan peribadi dan keluarga semata-mata, Insya Allah tidak sesekali menjadi Melayu yang mudah lupa seperti mereka!” kata Najib dalam ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Najib turut menyifatkan DAP yang dikuasai ‘dinasti anak-beranak’, merujuk kepada keluarga Lim Kit Siang yang mengamalkan pemerintahan diktator dan tidak demokrasi.
“Berbanding DAP, yang sejak 50 tahun lalu, yang hanya dikuasai penasihat dan dinasti anak-beranak.
“Jadi, di mana ‘demokrasi’ yang dimomok-momokkan? Ternyata sekadar pada nama sahaja. Dalam pemilihan semula CEC DAP, hanya 54 peratus saja yang hadir.
“Ini tak masuk lagi cerita ‘parti Bunga Raya’ atau istilah dulu-dulu, kembang sepatu, yang diterajui bekas pucuk pimpinan UMNO dan seorang bekas negarawan,” kata Najib sebagai merujuk PPBM yang dipimpin Mahathir dan bekas timbalan presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tambah Najib, pembangkang ingin berjuang untuk orang-orang Melayu dan Islam, tetapi berpakat dan sedang dijadikan ‘perkakas’ oleh DAP yang terang-terang anti-Melayu dan Islam.
“Seperti yang tercatat dalam perlembagaan DAP, langsung tidak menyebut, Islam sebagai Agama Persekutuan, bahkan matlamat mereka mahu menjadikan negara ini sekular sepenuhnya.
“Parti bunga raya ini, bukan nak mengata, maaf cakaplah, kita tidak nampak di mana nilai yang cuba dibawanya,” katanya. – MYNEWSHUB.CC