Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

Pahang Akan Laksana Projek...

BERA - Kerajaan negeri Pahang akan melaksanakan projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang...

Filipina, AS Kecam Tindakan...

MANILA: Filipina dan Amerika Syarikat (AS) secara berasingan mengutuk sekeras-kerasnya `serangan agresif’ yang...

Lama Menyepi, Ana Raffali...

SUATU ketika, penyanyi Ana Raffali pernah berada di puncak populariti dalam industri seni...

9 Maut, 15 Cedera...

SRINAGAR – Sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan 15 yang lain cedera selepas sebuah...

Membentuk Disiplin Remaja Dengan Kasih Sayang

KUALA LUMPUR – “Kasih sayang adalah perkara paling asas dalam membentuk disiplin remaja termasuk pelajar dan bukannya kekerasan,” demikian ditegaskan oleh Ab Aziz Mohd Yatim, Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi dan Kaunseling, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Beliau, yang mempunyai pengalaman lebih 13 tahun sebagai guru bimbingan serta kaunseling, berkata majoriti remaja yang terlibat dengan masalah sosial disebabkan ketandusan kasih sayang.

“Pendekatan kekerasan dan hukuman sebenarnya membuatkan mereka menjadi lebih teruk dan memberontak di samping menjadi pemarah dan berdendam,” tegas Ab Aziz ketika berkongsi pengalamannya mengendalikan pelajar bermasalah gejala sosial pada ‘Forum Remaja Berisiko: Menangani Lebih Baik Daripada Menghukum’ baru-baru ini.

Forum selama sejam yang membincangkan permasalahan dan cabaran mengendalikan remaja hari ini dianjurkan Gabungan Institut Latihan Kemahiran Swasta Bumiputera (GILKSB), Majlis Belia Malaysia (MBM), Federasi Kebangsaan Pekerja Belia Malaysia (FKPBM), Parlimen Belia Malaysia dengan kerjasama Perpustakaan Negara Malaysia dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Ahli panel forum yang lain ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim; Pengerusi GILKSB, Nordin Abdul Malek dan Felo Biro Dakwah dan Sosial Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek.

PENGALAMAN SEBAGAI CIKGU

Pengalaman sebagai guru di sebuah sekolah lelaki bermasalah di Selangor banyak memberi pendedahan kepada Ab Aziz tentang masalah disiplin pelajar.

Beliau mengakui seorang yang amat tegas dan garang pada awal pembabitan sebagai guru.

“Pada masa itu, saya percaya bahawa kekerasan seperti hukuman pukul secara umum dan rotan boleh membentuk disiplin pelajar. Pernah sekali saya mengurung pelajar di bawah tangga dengan mengunci pintu stor supaya dia insaf dengan kesilapannya.

“Namun, saya silap. Biarpun masalah itu selesai tetapi ia hanyalah di depan mata saya sahaja sedangkan di belakang saya mereka tetap melakukan pelbagai perkara yang melanggar disiplin pelajar sehingga ada membahayakan nyawa,” kongsi Ab Aziz.

Sikap serta pandangannya mengenai masalah disiplin pelajar serta bentuk hukuman yang perlu dilaksanakan berubah apabila beliau mengikuti kursus bimbingan serta kaunseling pada tahun 1985.

“Kursus itu banyak memberi saya kesedaran serta membuka mata saya bahawa kekerasan bukanlah jalan terbaik membentuk golongan yang kerap kali dipandang rendah oleh masyarakat ini.

“Semuanya berbalik kepada perkara paling asas iaitu ‘kasih sayang’,” katanya.

KETANDUSAN KASIH SAYANG

Perhatian beratnya terhadap masalah disiplin pelajar membuatkan Ab Aziz sering mengikuti program bimbingan pelajar apabila ada masa terluang.

“Kemuncaknya, apabila saya melanjutkan pelajaran dalam bidang berkenaan di Universiti Putra Malaysia kerana ingin menambah ilmu yang ada dan kemudian menjadi guru bimbingan dan kaunseling sebaik tamat pengajian,

“Saya insaf dengan pendekatan kekerasan sebelum ini dalam membentuk sahsiah pelajar. Saya tidak lagi menggunakan kaedah rotan mahupun mengenakan hukuman pukul secara umum seperti sebelumnya,” katanya.

Pengalaman membolehkan Ab Aziz menghasilkan modul sendiri untuk disiplin pelajar yang dinamakan ‘Prodigy’.

Modul ini menekankan aspek kasih sayang dengan memberi latihan kepada guru bagaimana mengendalikan pelajar nakal selain banyak membantu mengubah pelajar menjadi lebih baik.

KESAN POSITIF

Kesan positif modul Ab Aziz membuatkan ia berjaya menarik perhatian guru dari Aceh, Jogjakarta, Bandung, Jakarta dan Tasikmalaya di Indonesia untuk mempelajari pendekatan itu dalam mengendali pelajar bermasalah disiplin.

Ini adalah selain daripada beberapa buah sekolah vokasional negara ini yang terkenal dengan permasalahan kes pelajarnya turut menggunakan modul berkenaan dan hasilnya begitu positif.

“Pernah saya menjadi guru bimbingan dan kaunseling di sekolah vokasional di mana cikgunya sangat garang manakala disiplin pelajarnya amat teruk, bermasalah kes buli dan sebagainya. Mereka asyik bergaduh jadi saya menggunakan pendekatan kasih sayang ini.

“Keputusannya sangat memberangsangkan apabila ramai kaki buli jadi lebih baik, ada yang jadi pengawas dan sebagainya. Ini berlaku apabila mereka merasakan diri disayangi dan dihargai sekali gus membuktikan wahana kasih sayang adalah penyelesaian sebaiknya,” ulas beliau.

Bagaimanapun, apa yang menyedihkan ialah masih ramai yang terus memandang remeh akan kepentingan ‘kasih sayang’ dalam kehidupan masyarakat hari ini.

Perkara ini ditekankan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dan menurut beliau, pihaknya menganjurkan beberapa aktiviti serta kempen yang menekankan pemupukan kasih sayang dalam sesebuah keluarga.


“Kadangkala kementerian saya ada memberi sedikit teguran atau kempen seperti makanlah bersama keluarga sekurang-kurangnya sekali dalam sehari, ‘No Gadget Hour’ ataupun pelukan lima saat bersama ibu ayah.

“Ini kerana, pelukan dapat menyemai kasih sayang sesama keluarga. Tetapi, orang tidak dapat menilai kepentingannya dan mempertikaikan yang menteri ini sudah tidak ada kerja lain, sehingga begitu sekali,” katanya.

KELUARGA BERMASALAH

Walhal senario sebeginilah yang mendedahkan golongan remaja kepada pelbagai permasalahan gejala sosial kerana ‘kasih sayang’ yang didambakan tidak dapat diperoleh daripada keluarga mahupun guru di sekolah.

Mereka akhirnya mula memberontak kerana rasa terpinggir dan cuba memperolehnya dengan cara salah apabila ada yang mendapatkan kasih sayang melalui perlakuan jenayah, dadah mahupun terlibat dengan seks bebas, membunuh orang, membuli bagi menarik perhatian ibu bapa mahupun masyarakat.

Apatah lagi, dengan faktor usia yang masih muda, mereka berisiko terjebak dengan kancah sosial kerana gagal membuat keputusan terbaik didorong oleh sifat remaja itu sendiri yang lebih mengikut kata hati dan perasaan ingin tahu.

“Remaja berisiko yang melakukan sesuatu menyalahi undang-undang tidak akan jadi sedemikian rupa kalau tidak ada faktor keluarga dan komuniti. Yang menyebabkan mereka jadi remaja berisiko bermula dengan apa yang berlaku dalam komuniti serta keluarga.

“Saya bukan mahu menuduh tetapi ia adalah faktor yang juga memungkinkan mereka jadi begitu kerana berdasarkan kajian kementerian mengenai latar belakang remaja berisiko mendapati golongan ini memang ada masalah keluarga termasuk kurang kasih sayang,” tambahnya.

Menurut beliau lagi, ada pasangan yang bercerai-berai, ibu bapa asyik bergaduh ataupun terlalu sibuk dengan kerjaya sehingga anak terabai.

“Malah ramai daripada anak ini memaklumkan kepada kami supaya tolong beritahu emak ayah mereka untuk meluangkan sedikit masa bersama kerana ketandusan kasih sayang,” katanya.

Menurut Rohani, kementerianya melalui agensi seperti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) ada mengadakan pelbagai kursus kemahiran keluarga kepada ibu bapa serta menyediakan pusat remaja kafe @ teen bagi remaja.

“Ia (kafe @ teen) adalah tempat yang membolehkan remaja berkumpul dan dalam masa yang sama kita turut mengadakan sesi kaunseling di situ,” katanya.

ASET NEGARA

Hakikatnya, situasi yang melibatkan disiplin remaja termasuk pelajar tidak boleh dipandang ringan kerana ia juga masalah yang membimbangkan pihak kerajaan serta menjadi antara agenda Majlis Sosial Negara.

Ini kerana golongan muda adalah generasi pelapis yang akan mengemudi hala tuju negara ini pada masa akan datang.

“Tidak kiralah siapapun mereka, remaja yang terjebak dengan gejala sosial ini sebenarnya mempunyai potensi amat besar menyumbang pembangunan negara sekiranya diberi perhatian sewajarnya,” tegas Rohani.

Pandangan ini turut dipersetujui oleh Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (i-GROW), Nordin Abdul Malek yang menjelaskan ramai pelajar nakal dan dianggap tidak ada masa hadapan ini akhirnya berjaya melakar kehidupan lebih baik apabila diberi bimbingan sebaiknya.

“Saya sendiri seorang berpengalaman mendidik pelatih saya di sebuah daripada institut latihan di bawah GILKSB (GILKSB adalah gabungan beberapa institut yang menawarkan latihan kemahiran antaranya pertanian seperti di i-GROW) kepada remaja tercicir sebelum saya memegang jawatan pengerusi GILKSB.

“Menariknya, mereka mempunyai potensi luar biasa tetapi kita kenalah bagi peluang. Contohnya, pelatih di GILKSB hari ini menjadi begitu hebat apabila kerajaan Thailand menyatakan minat melawat ke i-GROW pada awal Disember tahun ini untuk melihat sendiri sistem pembelajaran pertanian yang dijalankan.

“Mereka tertarik apabila konsep pertanian ini merangkul banyak anugerah dan menariknya ia dilakukan oleh remaja tercicir,” katanya.

Justeru, golongan remaja yang dbincangkan ini bukanlah masalah buat negara tetapi lebih kepada cabaran bagi kita bagaimana menanganinya.

Yang pasti, semuanya harus berbalik kepada perkara paling asas, iaitu kasih sayang memandangkan setiap seorang daripada mereka adalah aset amat bernilai buat negara. – BERNAMA

Kategori