Monday, November 25, 2024

Creating liberating content

Rang Undang-Undang Hudud Kembali...

KOTA BAHARU - Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993, atau lebih dikenali sebagai...

Pelaburan BAM Mula Tuai...

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyifatkan pelaburan yang dibuat ke atas...

Komen M. Nasir Kurang...

TERASA ibunya telah diaibkan, penyanyi Bienda yang juga anak kepada Sheeda menuntut supaya...

259 Kes Kematian Dalam...

KUALA LUMPUR - Sebanyak 259 kes kematian dalam tahanan telah disiasat sejak tahun...

Muzium Malam Tarikan Baharu Di Ibu Kota

KUALA LUMPUR – Menghabiskan malam minggu di ibu kota Kuala Lumpur dengan mengunjungi muzium malam pastinya memberi kelainan baharu untuk peminat dan pencinta sejarah, kesenian dan kebudayaan di negara ini.

Limpahan cahaya lampu membangkitkan suasana yang cukup berbeza berbanding kebiasaan ketika mengunjunginya pada waktu siang. Kedinginan malam menambah keselesaan untuk menghayati setiap koleksi yang dipamerkan.

Tarikan baharu ini yang akan bermula pada akhir tahun hadapan bukan sahaja menyeronokkan malah terasa seolah-olah wujud unsur misteri ketika menjejakkan kaki ke dalam muzium.

Lawatan ke tiga buah muzium – Muzium Tekstil, Muzium Diraja dan Muzium Negara – dalam tempoh tiga jam semasa Pra Pelancaran Denai Malam Di Muzium-Alami Detik Yang Menakjubkan (The Museum Night Trail-Amazing Muzeum At Night) memberi peluang kepada penulis merasakan pengalaman itu buat pertama kali.

KEUNIKAN MUZIUM MALAM

Muzium malam adalah idea yang seringkali dianjurkan di kebanyakan bandar utama di dunia dan dikatakan ia bermula di Berlin, Jerman pada tahun 1977.

Tidak hanya tertumpu kepada sebuah muzium, pengembaraan ke lokasi yang berbeza dapat memperlihatkan kepelbagaian khazanah yang terdapat di negara ini.

Menggunakan pengangkutan bas, pengembaraan ke tiga buah muzium bermula dengan berkumpul di Muzium Negara yang turut disertai Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Yean Yoke Heng, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMM) Datuk Kamarul Bahrin Kasim serta 25 anggota media tempatan.

Muzium Tekstil menjadi lokasi pertama persinggahan dengan melawat galeri-galeri terpilih merangkumi sejarah perkembangan tekstil tiga kaum utama di negara ini, Melayu ,Cina dan India serta pakaian etnik di Sabah dan Sarawak.

Hampir 45 minit masa diperuntukkan di sini sebelum meneruskan perjalanan ke Muzium Diraja yang menjadi destinasi kedua untuk dilawati.

Muzium Diraja yang terletak di Istana Negara lama mula dibuka kepada orang ramai empat tahun lepas. Istana ini menjadi tempat bersemayam Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dari 1957 hingga 2011.

Di sini pengunjung dapat merasakan kehidupan di istana selain mempelajari sejarah Raja-Raja Melayu di Malaysia.

Menikmati makan malam dengan hidangan tradisi lama antara pengisian ketika berkunjung ke sana. Menu ikan bakar, sayur ulam-ulaman serta diakhiri dengan manisan puding diraja yang cukup terkenal di Pekan, Pahang cukup membangkitkan selera.

Seterusnya dibawa pula ke Balairong Seri, tempat diadakan segala upacara adat dan acara rasmi istana dengan diberikan penerangan lanjut pihak jabatan muzium.

Kembara malam itu diteruskan dengan kembali ke Muzium Negara untuk melihat koleksi peninggalan sejarah kerajaan Melayu nusantara di Galeri B sebelum diakhiri dengan persembahan kebudayaan dan joget lambak. Demonstrasi penyediaan bahan-bahan masakan berasaskan menu tradisi seperti mengukur kelapa dan mengemping padi dapat dilihat di sini.

INISIATIF LUAR BIASA

Inisiatif program muzium malam sangat luar biasa dan berpotensi untuk menarik lebih ramai pengunjung ke muzium apabila ia dibuka di luar waktu operasinya, menurut Yoke Heng.


Selain dapat mempelbagaikan produk pelancongan ia memberi peluang kepada masyarakat setempat khususnya yang bekerja untuk bersantai bersama keluarga pada waktu malam.

“Sudah pasti strategi ini mampu menarik lebih ramai masyarakat tempatan yang sentiasa padat dengan jadual kerja mereka pada siang hari.

“Melalui program ini, mereka boleh datang seisi keluarga untuk bukan sahaja menikmati pengalaman melawat muzium pada waktu malam tetapi juga menyaksikan persembahan kebudayaan dan demonstrasi penyediaan makanan secara tradisional yang sangat jarang disaksikan di kota metropolitan ini,” katanya.

Kementerian pelancongan dan Kebudayaan, katanya, sentiasa berusaha merancakkan sektor pelancongan negara ke arah menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancongan dan kebudayaan bertaraf dunia.

Muzium sebagai satu daripada agensi di bawah kementerian menjadi aset penting ke arah memperkasa industri pelancongan negara, katanya.

SASARAN PROGRAM

Idea penganjuran muzium malam ini adalah susulan kejayaan program “Bermalam di Muzium” anjuran Muzium Negara Malaysia (JMM) yang dimulakan pada tahun 2005.

Sambutan positif orang ramai telah menjadikannya acara tahunan hingga ramai yang mencadangkan agar program seperti itu diperluaskan, menurut Kamarul Bahrin, orang kuat di sebalik idea itu.

“Ini menjadi cadangan untuk dilaksanakan pada tahun hadapan yang diyakini dapat memberi impak kepada aktiviti permuziuman terutama kepada pelancong asing selain dapat merancakkan lagi industri pelancongan negara.

“Buat masa ini tidak banyak aktiviti pada waktu malam yang boleh dilakukan terutama pelancong dan ini akan menjadi antara tarikan untuk memenuhi aktiviti mereka terutama pada malam minggu,” katanya.

Program itu akan dimulakan pada November dan Disember tahun hadapan pada setiap Sabtu minggu pertama dan ketiga.

Peserta akan berkumpul di Muzium Negara sekitar pukul 8.00 malam dan setiap sesi lawatan akan berakhir pada pukul 11 malam di Muzium Negara dengan persembahan kebudayaan dan joget lambak.

“Kita sasarkan untuk satu malam sekurang-kurangnya dua buah bas atau lebih kurang 60 ke 70 orang pelancong dan kini kita turut mengalu-alukan penglibatan beberapa muzium lain seperti Muzium Kesenian Islam dan Muzium Polis untuk terlibat sama dalam penyediaan pekej lawatan muzium malam ini,” katanya yang berharap program ini akan berjalan lancar dan mendapat sambutan hangat daripada pelancong tempatan dan luar negara. – BERNAMA

Kategori