SABOTAJ… Kereta Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) diletakkan di asrama kampus di Sintok, Kedah disimbah cat dan diconteng perkataan jelik.
Mangsa yang juga penuntut tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam, Muhammad Luqman Jamalil-Idrus hanya menyedari keadaan keretanya jenis Perodua Myvi ketika hendak menghadiri kelas kira-kira pukul 9.30 pagi.
Beliau mendakwa tidak pernah ada musuh atau bergaduh dengan sesiapa apatah lagi tidak pernah berhutang dengan pemberi pinjaman haram atau Ah Long yang boleh menyebabkan ada pihak tidak berpuas hati terhadanya.
“Kejadian ini agak mengejutkan saya sendiri kerana ia berlaku di kawasan kediaman universiti ini namun saya belum berani hendak tuduh sesiapa selain tidak tahu apakah punca saya boleh terjebak menjadi mangsa.
“Sebelum ini, saya memang mempunyai urusan di luar kampus selama empat hari tetapi tidak berlaku pula kejadian seperti ini dan ia terjadi ketika saya berada di rumah,” katanya ketika dihubungi akhbar tempatan hari ini.
Muhammad Luqman, 22, berkata, bimbang mengenai keselamatan dirinya kemungkinan besar terancam, satu laporan kemudian dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu jam 1 tengah hari Isnin.
“Saya serahkan kejadian ini kepada pihak polis untuk melakukan siasatan lanjut,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim mengesahkan menerima laporan itu.
Siasatan sedang dijalankan setakat ini mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khinanat yang boleh bawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
*Video bawah sekadar hiasan…