“SAYA tidak pernah ambil dadah sepanjang 25 tahun ini. Bukan air kencing saya yang positif sebaliknya kawan saya yang mengambil barang terlarang itu!”
Itu kenyataan yang ditegaskan oleh pelakon dan pengacara Nadzmi Adhwa selepas kontroversi penahanannya oleh pihak polis bulan lalu akibat tuduhan memiliki bahan terlarang (narkotik).
Baca: Kes Dadah, Nadzmi Mengaku Ditahan Kurang 24 Jam
Nadzmi atau nama sebenarnya Nadzmi Adhwa Nor Adzmi, 25, mengakui bahawa terdapat kesilapan di dalam laporan ujian air kencing yang dilakukan oleh pihak polis ketika dia dan rakannya dicekup oleh pihak polis pada 3 November yang lalu.
“Dalam situasi ini saya dan adik saya jadi mangsa dan terperangkap. Saya sangat kesal dengan apa yang berlaku,” katanya dipetik daripada mStar Online.
Nadzmi telah membuat satu majlis sidang media khas berhubung isu tersebut pada petang tadi.
Dalam masa yang sama dia turut meminta maaf diatas kesilapan tersebut dan akan berjanji akan lebih berhati-hati dalam memilih rakan.
Tambah Nadzmi, apa yang terjadi kepadanya pada bulan lalu merupakan dugaan yang paling hebat di dalam sejarah hidupnya terutamananya sejak bergelar seorang selebriti.
“Ini dugaan paling berat buat saya apabila beberapa kontrak iklan dan tawaran sebagai pengacara terpaksa dibatalkan.
“Setakat ini saya kerugian dianggarkan lebih RM80,000. Saya tahu reputasi saya sebagai artis yang bebas kontroversi juga sedikit tercalar,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, pihak polis telah menemui bahan terlarang iaitu ganja di dalam kereta seorang rakan yang bersama pelakon tersebut di sebuah stesen minyak dekat Jalan Bukit Setiawangsa, Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.
Pada pukul 1:30 pagi tarikh tersebut, hasil pemeriksaan polis mendapati terdapat satu tin berisi daun ganja telah disembunyikan di tempat duduk bahagian pemandi kereta tersebut.
Akibat penemuan itu, Nadzmu telah ditahan bersama dnegan seorang rakan dan adiknya selepas ujian air kencing mendapati dia telah positif dadah.
Bagaimanapun aktor tersebut telah dibebaskan oleh pihak polis selepas ditahan tidak sampai 24 jam kerana diyakini memang tidak bersalah.
“Saya yakin tidak bersalah dalam hal ini dan telah pun dibebaskan tidak sampai 24 jam selepas ditahan,” katanya dipetik daripada mStar Online 7 November lalu.
Namun hari ini Nadzmi telah mengesahkan bahawa dia langsung tidak mengambil sebarang bahan terlarang sepanjang hidupnya.
Itulah, lepasni kena lebih berhati-hati dalam memilih kawan. Rambut kita ni memang sama-sama hitam… Tapi hati tu lain-lain. Jangan ingat semua kawan tu baik, pasti akan ada yang menjadi parasit dalam diam. – MYNEWSHUB.CC/AH