SETIAKAWAN… Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan hampir setengah jam pertama ucapan penggulungan Presiden UMNO dengan penghargaan kepada Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Malahan pada Perhimpunan Agung UMNO 2017, Najib berkata Timbalan Perdana Menteri yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO itu disifatkan beliau sebagai seorang sahabat lama yang akrab dan setia.
Perdana Menteri mengakui berpuas hati mempunyai timbalan yang tidak lupa mempertahankannya ‘di saat susah’ sebagaimana beliau menunjukkan prinsip ‘susah senang bersama’ ketika sahabatnya itu menghadapi detik sukar.
Menurutnya, Ahmad Zahid pernah bertanding sebagai Ketua Pemuda UMNO Bagan Datok pada 1988 namun ditekan dengan begitu dahsyat oleh pimpinan bahagian parti tersebut ketika itu.
Ahmad Zahid justeru meminta bantuannya sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO merasmikan Persidangan Pemuda Bahagian Bagan Datuk dan Najib tanpa mempedulikan tekanan telah membantu sahabatnya itu.
“Saya pun beranikan diri, saya tahu pimpinan bahagian itu benar-benar menentang, saya kata tak kisah, saya tetap pertahan sahabat saya, saya beri sokongan terbuka, akhirnya Zahid menang itu pun hanya 11 undi.
“Kebetulan nombor bertuah saya… Sampai ketua bahagian masa itu komplen kepada Presiden, ucapan Ketua Pemuda ini yang tak guna sama sekali, saya tak peduli… prinsipnya senang susah kita mesti bersama.
“Sebab itulah putaran roda siapa tahu? Dua tahun lalu timbalan saya buat… pula, Datuk Zahid tampil ke hadapan, dia pula pertahankan saya itu orang kata ‘the ironi of history‘ Datuk Zahid tak lupa pertahan kawan,” katanya.
Ahmad Zahid, menurut Najib, mengingatkannya kepada lagu Datuk D J Dave yang antara liriknya berbunyi:
Sukarnya mencari
Kawan yang setia
Yang sanggup menolong
Di masa kau susah
Kawan waktu senang
Tak payah kau cari-cari
Di mana saja
Mudah kau jumpa
Perdana Menteri seterusnya bersetuju dengan cadangan Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin untuk membawakan semangat ‘war cry’ yang menjadi moto pasukan bola sepak Liverpool, ‘You’ll Never Walk Alone’.
“Walaupun saya sakit jiwa dengar cadangan itu (diserapkan ke dalam jentera gerak gempur parti) malah KJ (Khairy Jamaluddin) pun sebagai penyokong tegar MU (Manchester United) sakit jiwa mendengarnya.
“Namun saya suka kerana kawan saya, Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Kelantan, Datuk Abdullah Md. Yasin mengatakan, “Datuk Seri you (are) not lonely…” Alhamdulillah, I am not lonely and not alone,” ujarnya.
Terdahulu Ahmad Zahid ketika ucapan penggulungannya turut secara terbuka melafazkan ikrar taat setia tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Najib selaku Perdana Menteri dan Presiden UMNO.
“Kesetiaan saya kepada Presiden (UMNO) tidak akan luntur selagi hayat dikandung badan,” kata beliau yang juga Naib Presiden parti tersebut. Ahmad Zahid turut berterima kasih kepada Najib. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA