KUALA LUMPUR – Segala-galanya sudah sedia dengan strategi untuk kejayaan telah disusun tatkala Datuk Seri Najib Tun Razak meniup semangat kira-kira 3.6 juta anggota UMNO untuk mendepani Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, satu pemilihan yang dijangka sengit.
Sepanjang lima hari perhimpunan parti sejak Selasa lalu sehingga hari ini di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri berjaya menanam keyakinan dalam minda perwakilan dan juga anggota lain bahawa parti yang bakal berdepan pilihan raya itu adalah sebuah parti yang kuat, boleh dipercayai serta mampu meneruskan legasinya dalam aspek kepimpinan negara yang kukuh.
Seperti yang dinyatakan oleh seorang pembahas, UMNO dilahirkan secara terhormat, sejarahnya selama tujuh dekad dipenuhi pengorbanan dan sumbangan kepada rakyat dan negara – tidak seperti sesetengah parti pembangkang yang bersandarkan faktor kemarahan dan kekecewaan.
Perhimpunan Agung UMNO menghantar satu mesej jelas bahawa parti itu teguh di belakang Najib.
Najib beruntung kerana beliau mengemudi bahtera UMNO sebagai satu-satunya nakhoda – tidak seperti barisan pembangkang Pakatan Harapan yang mempunyai beberapa juragan dengan masing-masing mempunyai destinasi sendiri.
Dalam ucapan penangguhannya hari ini, Najib menyasarkan ketidakkonsistenan serta huru-hara yang menguasai kem pembangkang.
Ringkasnya, beliau mengatakan prestasi bersifat ‘kartun’ ini bukanlah caranya untuk mentadbir sebuah negara seperti Malaysia.
Najib berkata apa yang ditawarkan oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dipengerusikannya, sekarang dan pada masa depan ialah agenda menyeluruh dengan inisiatif-inisiatif yang akan memberi faedah pada setiap lapisan masyarakat Malaysia.
Sokongan terhadap Najib itu terbukti menerusi ikrar dan kenyataan oleh ketua Puteri, Pemuda dan Wanita serta Naib Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas Timbalan Presiden dalam ucapan penggulungan masing-masing sebelum itu.
Sorakan kuat dan tepukan gemuruh perwakilan yang memenuhi Dewan, menyulami ucapan Najib, menandakan mereka juga memberi sokongan penuh kepada Najib.
UMNO juga mengelakkan perebutan kepimpinan pada masa depan apabila perwakilan secara sebulat suara menyokong usul tiada pertandingan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden.
Selain itu, Najib turut membuatkan ramai yang tersenyum apabila beliau merujuk Ahmad Zahid sebagai Timbalan Presiden de facto pada awal ucapannya.
“Perkara ini (usul tiada pertandingan) membawa kestabilan dalam parti. Kestabilan dari segi kepimpinan parti akan diterjemahkan kepada kestabilan landskap politik dalam negara,” kata Bendahari UMNO yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Najib katanya merupakan pemimpin berwawasan yang berhasrat membawa Malaysia ke peringkat lebih gemilang dan beliau mampu mencapainya dengan orang kanan yang setia dan tekun di sisi.
Perkembangan terbaharu ini membolehkan parti tunjang BN itu memberi tumpuan penuh kepada pilihan raya dan memastikan kemenangan besar.
Sememangnya pembangkang tidak mempunyai banyak isu untuk dilontarkan berikutan rekod cemerlang UMNO dan BN dari segi sumbangan kepada rakyat dan negara.
Kisah-kisah kejayaan inilah yang patut diuar-uarkan oleh anggota UMNO dan BN berserta perkara-perkara lain yang bakal dilunaskan dengan kemenangan besar dalam PRU14.
Namun begitu, mengambil kira dengan apa yang berlaku semasa PRU13 apabila pembangkang bermain dengan sentimen rakyat menerusi perang persepsi terhadap UMNO dan BN, Najib memberi ingatan PRU14 bukan perkara enteng.
Beliau mencabar anggota UMNO untuk berusaha sehabis kudrat memerangi kepalsuan dan salah tanggapan dengan menjadi lasykar siber.
Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dalam ucapan penggulungannya menekankan bahawa UMNO adalah parti masa depan dan ini perlu dicerminkan dalam barisan calon PRU.
“Kita perlu kepelbagaian dalam barisan calon ini. Selain senior, masukkan lebih ramai wanita dan calon-calon muda agar kita dilihat sebagai sebuah parti yang muda dan kontemporari,” katanya yang mengakui keputusan akhir terletak di tangan Najib. – BERNAMA