KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyambut mesra Datuk Seri Najib Tun Razak ketika presiden parti itu tiba di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk menghadiri majlis Taklimat Presiden yang diadakan secara tertutup semalam.
Genggaman erat semasa berjabat tangan disulami senyuman pada wajah mereka jelas menunjukkan bahawa pemimpin No. 1 dan No. 2 negara itu merupakan gandingan sempurna untuk menerajui UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14, yang dijangka diadakan dalam beberapa bulan lagi.
Malah, PWTC, venue perhimpunan agung UMNO selama lima hari bermula semalam, menjadi ‘rumah’ bagi kedua-dua pemimpin itu dengan mereka merasmi dan menutup mesyuarat serta acara berkaitan UMNO yang dianjurkan oleh parti tunjang dan tiga sayapnya sejak Ahad, menjelang perhimpunan agung itu.
Nampaknya, perdana menteri bergandingan baik dengan timbalannya yang juga menjalankan tugas timbalan presiden parti dalam menangani tugas untuk memenuhi kesemuan jemputan berkenaan.
Buat pertama kalinya, pasukan Najib-Ahmad Zahid akan memimpin UMNO dan BN melangkah masuk ke medan tempur pilihan raya umum, yang digelar sebagai ibu kepada semua pilihan raya kerana parti pemerintah dilaporkan bakal menghadapi saingan sengit dalam mempertahankan Putrajaya, pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan.
Tetapi, ini bukanlah kali pertama mereka bekerjasama kerana ‘perkongsian’ yang terjalin antara kedua-dua pemimpin itu dibentuk sejak tiga dekad yang lalu semasa Ahmad Zahid menjadi setiausaha politik Najib dari 1987 hingga 1993, ketika beliau menyertai Kabinet buat pertama kalinya sebagai Menteri Belia dan Sukan sebelum menjadi Menteri Pertahanan.
“Kepimpinan berdasarkan persahabatan mereka sejak sekian lama telah memberikan kekuatan dan perpaduan kepada parti,” kata bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin yang juga Ketua Bahagian UMNO Lembah Pantai.
Najib dan Ahmad Zahid sentiasa sependapat apabila ia berkaitan dengan menguruskan hal ehwal negara daripada bidang ekonomi hinggalah kepada dasar asing demi memanfaatkan rakyat secara keseluruhannya.
Bagaimanapun, ia bukanlah perjalanan yang lancar bagi mereka kerana kedua-duanya terpaksa mengharungi waktu susah dan senang dalam berdepan pelbagai isu termasuk 1MDB dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dibangkitkan pembangkang selain dakwaan seorang pemimpin pembangkang baru-baru ini bahawa Ahmad Zahid cuba menjatuhkan ketuanya itu.
Najib sendiri telah menafikan dakwaan perbuatan ‘tikam belakang’ itu kerana beliau secara peribadinya mempercayai orang kanannya itu.
Menteri Kabinet dan anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Najib dan Ahmad Zahid sememangnya amat serasi dengan perdana menteri kini dilihat sebagai pemimpin yang mempunyai pentadbiran dan pemerintahan kukuh serta mampu menghadapi cabaran sengit.
“(Ahmad) Zahid pula dilihat sebagai pemimpin yang mempunyai kekuatan dalam menjaga akar umbi…ertinya kalau sebuah pokok itu, Najib dilihat memberikan buah yang tumbuh manakala Zahid pula berperanan menjaga akar umbinya. Jadi, barulah pokok itu tegap bertahan walau dilanda pelbagai cabaran dan ribut taufan,” kata Ahmad Shabery.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata gandingan Najib- Ahmad Zahid adalah yang terbaik bagi UMNO setakat ini, sekali gus mampu memacu parti ke arah yang lebih gemilang.
Peringkat akar umbi parti juga berkongsi sentimen yang sama dengan mahukan kedua-dua pemimpin itu membawa bendera BN dan UMNO ke medan tempur pilihan raya.
Timbalan Ketua Bahagian Balik Pulau Shah Ayoob Hussain Shah berkata anggota akar umbi selesa dengan parti yang diterajui oleh gandingan Najib-Ahmd Zahid.
Malah, ketiga-tiga sayap – Wanita, Pemuda dan Puteri – pada perhimpunan agung masing-masing hari ini bersetuju supaya jawatan No 1 dan No 2 UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang. – BERNAMA