KUALA LUMPUR – Kelantan terus menghadapi masalah banjir teruk yang menyusahkan rakyatnya disebabkan tangan-tangan rakus memusnahkan alam sekitar negeri itu untuk aktiviti pembalakan.
Pemimpin Pakatan Harapan daripada Parti Amanah Negara (PAN), Dr. Hatta Ramli berkata, perubahan perlu dilakukan agar ekosistem di Kelantan kembali seimbang bagi mengelak bencana yang lebih dahsyat pada masa akan datang.
“Setiap tahun kita mendengar berita banjir yang melanda Kelantan. Perkara ini menjadi kebimbangan yang tiada kesudahan kerana ia sudah tentu membebankan rakyat kerana terpaksa mengharungi bah walaupun sepatutnya menikmati cuti hujung tahun,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Hatta berkata, turut merunsingkan apabila Laporan Ketua Audit Negara 2016 menegur Jabatan Perhutanan Kelantan kerana penanaman semula hutan tidak dijalankan mengikut perancangan yang akan memberi kesan kepada pengusahasilan hutan secara berterusan.
Justeru, kata beliau, jika perkara ini tidak diambil berat maka Kelantan akan menghadapi masalah banjir yang lebih kerana tangan-tangan yang rakus memusnahkan alam sekitar.
Kata beliau, analisis audit mendapati bilangan anak pokok yang belum diambil lebih banyak berbanding yang telah diambil oleh pengusaha, malah tidak melaksanakan penanaman semula disebabkan kos menanam semula lebih tinggi daripada nilai deposit pengusaha.
“Semakan Audit mendapati hanya enam pelesen telah mengambil 4,895 anak pokok bagi tempoh permohonan tahun 2014 hingga 2015. Kesannya menyebabkan 36 kompartmen yang tidak dapat ditanam semula di Jajahan Kelantan Selatan, Kelantan Timur dan Kelantan Barat yang melibatkan 36 pengusaha,” katanya.
Beliau mengingatkan, Jabatan Perhutanan Kelantan adalah pihak yang berhak dan perlu mengambil tindakan tegas dengan menarik balik keseluruhan wang amanah lesen. – MYNEWSHUB.CC