SAYU… Suasana hiba jelas menyelubungi Dewan Tun Razak 1 dan 2, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara ketika imam pilu membacakan doa selepas solat sunat hajat dilaksanakan.
Suara sebak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika memohon pertolongan Allah bagi bantu umat Islam Palestin, meruntun hati lebih 5,000 jemaah yang menunaikan solat sunat berkenaan.
Solat tersebut dilaksanakan usai solat Jumaat, bagi memohon Allah melindungi rakyat Palestin, susulan tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu yang mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Jamil Khir yang beberapa kali terhenti dalam bacaan doanya kerana menahan sebak, memohon Allah agar dapat memelihara keselamatan jutaan rakyat Palestin agar tiada pertumpahan darah berlaku ekoran situasi terkini itu.
“Dengarlah suara kami Ya Allah. Sesungguhnya apa berlaku itu menyentuh hati perasaan kami tumpang terluka. Ia kiblat pertama kami Ya Allah. Di situlah peristiwa Israk dan Mikraj,” katanya sambil ada jemaah menitis air mata.
Terdahulu, dalam khutbah Jumaat, Jamil Khir turut menyentuh mengenai nasib rakyat Palestin yang bukan saja diasingkan secara geografi menjadi Tebing Barat dan Gaza, malah diasingkan oleh tembok yang dibina rejim Zionis.
Beliau turut berpesan kepada perwakilan mencontohi hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah serta pengorbanan Saidina Abu Bakar melindungi Baginda sepanjang perjalanan, pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017.
Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak; Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein turut serta.
Solat Jumaat julung kali diadakan di dua dewan besar tersebut bersempena dengan PAU 2017 yang berlangsung meriah selama lima hari dan berakhir esok itu, dipimpin oleh Imam Masjid Ara Damansara, Mohd. Shukri Ali.
Ia menggantikan sementara waktu Surau Ar-Rahman bertempat di aras tiga, Menara Dato’ Onn, PWTC didaftarkan sebagai surau solat Jumaat beberapa tahun lalu, ekoran bilangan jemaah bertambah ketika PAU berlangsung.
Sebelum ini solat Jumaat pernah diadakan di Dewan Tun Razak 4, namun memandangkan lokasi itu kini digunakan sebagai Laman Media dan faktor jemaah ramai, dua dewan yang lain pula digunakan. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA
* Video bawah sekadar hiasan…