SEREMBAN – Pemain pasukan Hobin Jang Hobin bagi Skuad Liga Super musim depan, tertakluk kepada 21 garis panduan tatatertib yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS).
Presiden PBNS Datuk Seri Mohamad Hasan berkata garis panduan ini diperkenalkan bagi memastikan pasukan Skuad Rusa mempunyai disiplin yang tinggi.
“Antaranya mana-mana kalangan mereka didapati berkunjung ke kelab malam dan mabuk, mereka akan dikenakan tindakan,ā katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini, hari ini.
Mohamad turut berkata, Skuad Hobin Jang Hobin juga turut menampilkan 11 pemain tempatan terdiri daripada pemain Liga Piala Presiden yang sudah berpengalaman dan telah bermain di kelab lain sebelum ini.
Beliau berkata pemilihan pemain tempatan ini dibuat untuk menaikkan semangat moral apabila mewakili negeri kelahiran dan ia mampu untuk menaikkan mutu persembahan mereka.
Mohamad berkata beliau juga mahu semua jurulatih dan juga pegawai PBNS daripada peringkat belia, Piala Presiden dan skuad senior mempunyai corak latihan yang sama.
āIni perlu ada bagi mempersiapkan pemain muda untuk beraksi bersama skuad senior kerana jika tidak selaras mereka terpaksa berdepan dengan suasana baharu dari segi latihan dan corak permainan.
Beliau turut menegaskan agar pihak PBNS perlu mengadakan sesi latihan dalam kelas selepas membuat latihan di padang bagi membincangkan strategi dan mengkaji kekuatan serta kelemahan pihak lawan.
Katanya sementara itu, pemilihan akhir pemain import Negeri Sembilan bagi menghadapi Liga Super musim depan, akan dibuat dalam perlawanan persahabatan menentang pasukan Selangor, yang dijangka berlangsung 29 Dis ini.
“Bagi mempersiapkan jentera Negeri Sembilan agar boleh bersaing dengan baik, PBNS ketika ini sedang menguji beberapa pemain import dari Korea, Argentina dan Singapura.
“Kami memang memerlukan pemain import yang berkualiti dan setakat ini PBNS hanya berbelanja sederhana dalam pemilihan pemain tetapi ia tidak bermakna Negeri Sembilan akan menjadi pasukan belasahan,” katanya. – BERNAMA