SHAH ALAM – Entah mengapa Pejabat Menteri Besar Selangor bersungguh-sungguh mempertahankan anak saudara Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang disyaki terlibat dengan perlombongan pasir secara haram di Selangor sedangkan kes itu masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Terbaru, Pejabat Menteri Besar Selangor mendakwa kononnya permohonan SPRM kepada Mahkamah Majistret untuk melanjutkan reman ke atas Mohd. Nuzul Fadli, 37, sebagai satu intimidasi terhadap anak saudara Menteri Besar Selangor demi agenda politik.
Pejabat Menteri Besar Selangor bagaimanapun membayangkan rasa gembira kerana permohonan SPRM melanjutkan reman keatas anak saudara Mohamed Azmin berhubung kes melombong pasir secara haram ditolak Mahkamah Majistret.
“Mohd Nuzul bersama seorang lagi hanya direman sehingga Jumaat ini, manakala dua lagi telah dibebaskan. Perkembangan terbaru ini jelas menunjukkan SPRM sebenarnya tiada asas siasatan mengaitkan mereka dengan kesalahan jenayah projek lombong pasir.
“Hebahan siasatan dan usaha melanjutkan reman ke atas mereka adalah bertujuan memburukkan imej Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14,” kata Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar Selangor, Yin Shao Loong dalam satu kenyataan hari ini.
Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat menafikan beliau terlibat dalam kes melombong pasir secara haram di Selangor tersebut walaupun ia melibatkan anak saudara kesayangannya seperti yang didedahkan seorang ahli keluarganya baru-baru ini.
Malah, seorang lagi ahli keluarga Mohamad Azmin mendakwa dia tahu mengenai aktiviti anak saudaranya itu bersama Mohamed Azmin hingga membawa kepada penahanan pemuda terbabit oleh SPRM.
“Hebahan siasatan dan usaha melanjutkan reman ke atas mereka adalah bertujuan memburukkan imej Menteri Besar Selangor menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.
“Penggunaan kuasa oleh pimpinan tertinggi SPRM bagi menyerang Menteri Besar Selangor itu dengan mengaitkan ahli keluarganya hanya merosakkan imej SPRM sebagai badan yang bebas,” dakwa Pejabat Menteri Besar Selangor. – MYNEWSHUB.CC