SIAPA sangka hanya kerana kiriman direct message di laman Instagram, beban satu keluarga dari Kedah yang sedang bercuti di Los Angeles telah diringankan oleh seseorang yang bukan calang-calang!
Penyanyi Yunalis Zarai, 31, dikatakan telah menerima satu kiriman direct message (DM) di akaun Instagram miliknya oleh seorang gadis dikenali sebagai Amirah Saad.
Amirah memberitahu Yuna mengenai keadaan bapa rakan baiknya, Tasnim Radzi yang berasal dari Alor Setar, Kedah telah rebah ketika berada di Los Angeles.
Kebetulan ketika itu Yuna sedang berada di bandar itu yang menjadi rumah keduanya selepas mencipta nama di Amerika Syarikat.
Membuktikan semangat komunitinya yang luhur, Yuna telah melawat keluarga Tasnim yang kini berada di California Hospital Medical Center sejurus bapanya dimasukkan ke hospital berkenaan.
“Hari ini saya melawat Tasnim Radzi dan keluarganya di California Hospital Medical Center. Terima kasih kepada Amirah Saad yang DM saya bagitahu mengenai keluarga mereka.
“Alhamdulillah, pihak hospital bertindak dengan cepat dan nyawa pakcik Radzi dapat diselamatkan. Kini dia sedang dalam fasa pemulihan!” tulis Yuna di ruangan caption gambar ketika dia di hospital tersebut.
Dalam masa yang sama, Yuna yang bakal mendirikan rumah tangga pada awal tahun hadapan itu juga turut berasa sangat terharu di atas keprihatinan komuniti pelajar Malaysia yang berada di sana.
Mereka telah menawarkan tempat tinggal kepada Tasnim dan keluarganya sepanjang tempoh bapanya dirawat.
Selain itu, penyanyi yang dikenali dengan lagu Terukir Di Bintang itu telah meninggalkan satu pesanan kepada perkhidmatan Uber agar mereka dapat membantu memudahkan pergerakan keluarga berkenaan berulang-alik dari hospital ke tempat tinggal sementara di sana.
“Saya doakan semoga pakcik Radzi cepat sembuh dan saya seronok berjumpa dengan kalian semua. Ianya membuatkan saya rindu kepada keluarga di Malaysia!” ujar penyanyi yang turut terkenal dengan lagu Crush itu.
Yuna juga turut memuji ikatan persahabatan dan keprihatinan Amirah yang telah membantu meringankan beban rakannya itu.
Jadi, tak kiralah siapa pun kita atau di mana pun kita berada, sentiasa hulurkan bantuan kepada yang memerlukan. Tak kira apa juga bantuan yang diberikan! –Â MYNEWSHUB.CC/AH