KUCHING – Lazimnya apabila disebut seni sulaman, pasti yang terbayang di mata adalah susuk tubuh wanita yang tekun mengolah seni itu sementelah lagi melibatkan keringkam, seni sulaman Melayu Sarawak yang bukan sahaja renyah tetapi turut menuntut kreativiti.
Justeru, susuk tubuh pemuda ini yang ralit membelek susunan benang emas dan perak di bawah pemidang kayu yang di atasnya teregang sehelai kain kasa rubiah berwarna merah sebelum memulakan sulaman, mengundang rasa pelik bagi yang melihat, namun itulah rutinnya setiap hari seusai solat Isyak sehingga tengah malam.
Amirul Shazlei Yusuf, 29, terbabit dalam penghasilan keringkam sejak 2014, suatu yang harus dikagumi memandangkan kemahiran itu didominasi oleh wanita.
Keringkam atau ‘selendang keringkam’ bagi yang bersegi empat panjang dan ‘selayah’ untuk yang bersaiz pendek, biasanya dipakai oleh kaum hawa untuk menutup kepala semasa menghadiri majlis rasmi seperti pertunangan, perkahwinan dan juga pengebumian.
Berkongsi pengalaman dengan Bernama di sini, Amirul Shazlei berkata keinginannya yang membuak-buak untuk memiliki keringkam mendorongnya meraih ilmu daripada beberapa ‘guru’ di sekitar Sarawak untuk menghasilkan sendiri kraf yang harganya mencecah ribuan ringgit itu.
“Keluarga saya memiliki enam keringkam, paling lama berusia hampir 100 tahun. Bermula daripada sekadar mengagumi keunikan seni sulaman itu, saya bertekad untuk belajar menyulam dengan empat individu iaitu seorang kenalan di Miri, dua tenaga pengajar serta seorang individu perseorangan di Kuching.
“Proses pembelajaran dengan kenalan di Miri dilakukan menerusi aplikasi WhatsApp, dia hantar gambar ‘step by step’ bagaimana untuk menyulam saya cuba fahamkan gambar dihantar itu cuba ‘trial and error’ sehingga berjaya dan mahir sekitar 2015,” kata penjawat awam itu yang kini menyulam secara sambilan.
Penghasilan keringkam memerlukan penglihatan yang tajam dan teliti memandangkan seni itu menggunakan motif tumbuh-tumbuhan termasuk rebung dan bunga-bungaan seperti bunga tanjung dan mawar yang disulam menggunakan benang emas atau perak.
“Saya tidak lukis corak sebaliknya keringkam dihasilkan melalui teknik sulaman dan mengira urat benang. Keringkam disulam dengan benang emas atau perak manakala pemilihan motif, kain dan benang bergantung kepada penempahnya.
“Ada yang menempah untuk majlis pertunangan, pernikahan dan sebagai cenderahati. Proses menyiapkannya mengambil masa sebulan hingga tiga bulan bergantung kepada motif dan kemampuan penyulam,” kata anak jati Kampung Tupong Ulu itu.
Amirul Shazlei berkata dia mula meyulam keringkam secara aktif sejak 2015 dan sehingga kini berjaya menyiapkan empat tempahan yang dijual antara RM2,500 dan RM7,000 sehelai.
“Peminat serta pemilik tahu nilai keringkam ini sebab itu mereka tidak kisah untuk membayar harga mahal untuk mendapatkannya. Lagipun sulaman keringkam agak rumit, mengambil masa lama untuk disiapkan, malah benang emas (campuran logam dan emas) diimport dari Singapura dijual pada harga RM150 segulung membuatkan harga keringkam bertambah tinggi.
“Untuk menghasilkan selayah yang ringkas pun sudah memerlukan 10 hingga 12 gulung benang emas. Semakin banyak design dipanggil ‘lebat’ atau ‘bunga penuh’ boleh cecah 30 gulung benang emas semakin meningkatlah harga keringkam,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.
Katanya bagi menambah ilmu dan meningkatkan kemahiran dia mendapatkan tunjuk ajar daripada adiguru keringkam di sekitar Kuching.
“Saya pernah menghadiri bengkel sulaman keringkam di Pustaka Negeri Sarawak, Kuching dihadiri 20 hingga 30 peserta, hanya saya seorang peserta lelaki.
“Sebagai penyulam lelaki ada juga rasa bangga kerana mampu menyulam dalam seni didominasi wanita, tetapi pada masa yang sama saya lakukan ini untuk kepuasan diri sendiri kerana niat ketika mula menyulam bukan sebagai sumber pendapatan lebih kepada hobi,” katanya mengakhiri perbualan. – BERNAMA