Tuesday, November 26, 2024

Creating liberating content

CAP Gesa Kerajaan Segera...

GEORGETOWN : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan supaya mempercepatkan pelaksanaan subsidi...

Aliran Trafik Di Beberapa...

KUALA LUMPUR - Aliran trafik di beberapa kawasan di lebuh raya dilapor perlahan...

Dasar Pelepasan Kuota Bumiputera...

IPOH - Kerajaan negeri menegaskan dasar pelaksanaan pelepasan kuota Bumiputera bagi setiap projek...

Sabah Maju Di Bawah...

KOTA KINABALU - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Sabah kini...

Penduduk Johor Mula Bersedia Dengan Pembungkusan Biorosot

JOHOR BAHRU – Tempoh bertenang selama setahun bermula Januari ini sebelum penguatkuasaan sepenuhnya penggunaan pembungkusan biorosot atau mudah urai di Johor dilihat mendapat perhatian masyarakat yang rata-rata mula membuat persediaan ke arah misi berkenaan.

Tinjauan Bernama di beberapa lokasi perniagaan di sekitar bandar raya ini mendapati kebanyakan mereka, terutamanya peniaga, sudah bersedia melaksanakan arahan itu yang antara lain bertujuan memastikan kelestarian alam sekitar.

Pengusaha restoran Roslan Ibrahim berkata dia sudah mengetahui mengenai penguatkuasaan tersebut dan telah bersedia lebih awal dengan menggunakan plastik pembungkusan boleh urai berbanding polistirena.

“Usaha kerajaan negeri ini sememangnya baik kerana sedikit-sebanyak dapat mengelakkan pencemaran alam terutama di Johor iaitu antara negeri yang mempunyai banyak industri dan berkembang pesat,” kata pengusaha berumur 57 tahun itu.

Sementara itu, Huzaim Mohd Lep yang berniaga makanan hampir 35 tahun, berharap lebih banyak bekalan pembungkus makanan biorosot pada harga berpatutan disediakan kerana peniaga menggunakan bekas makanan dalam kuantiti yang banyak.

Seorang pengusaha kedai kasut dan makanan, Kamal Nur Arif, 24, pula mengakui tidak tahu langsung mengenai tempoh bertenang tersebut mahupun tentang penguatkuasaan dasar baharu itu dan berharap lebih banyak program penerangan dijalankan.

Seorang pengguna, Nur Ain Kamaruddin , 24, menyatakan kesediaan untuk menjadikan perkara itu amalan dalam kehidupan sehariannya.

“Saya tidak tahu mengenai pelaksanaan pembungkusan biorosot bagi menggantikan polistirena dan plastik di seluruh Johor mulai tahun depan, namun syabas saya ucapkan kepada kerajaan negeri atas usaha murni ini bagi memelihara alam sekitar,” kata pekerja sektor swasta itu.

Wanita itu turut berharap kerajaan negeri membuat hebahan yang lebih menyeluruh selain kempen kesedaran diadakan secara berterusan bagi memastikan seluruh masyarakat Johor bersama-sama menjaga alam.

Seorang pesara kerajaan, Jamiah Abdul Rahman berkata langkah kerajaan negeri itu memang tepat pada masanya seiring dengan status Johor yang pesat membangun.


“Pelaksanaan pembungkusan biorosot atas usaha kerajaan negeri ini sangat bijak tetapi harga untuk mendapatkan pembungkusan itu juga haruslah berpatutan dan rakyat juga perlu mampu untuk membelinya,” katanya menambah harga bungkusan plastik dan polistirena bukan sahaja murah tetapi juga mudah diperoleh.

Sementara itu, kesemua 17 cawangan pasar raya Econsave Cash and Carry di negeri ini akan berhenti menjual bekas polistirena dan pembungkus makanan atau plastik konvensional bermula 1 Jan ini.

Pengurus Operasi Pasar raya Econsave Cash and Carry Wilayah Selatan Mas Imran Adam berkata pihaknya telah mengambil langkah-langkah awal dengan memberhentikan bekalan produk berkenaan dan akan digantikan dengan bahan pembungkusan biorosot seperti yang disarankan.

“Ada pelanggan yang datang membawa beg kitar semula ketika membeli-belah di pasar raya kita. Ini sekali gus menunjukkan perubahan sikap mereka yang dulunya memakai plastik tapi kini membawa plastik sendiri atau beg kitar semula,” katanya lagi.

Selain itu, pihaknya juga akan menggantikan penggunaan beg plastik untuk mengisi barang pelanggan kepada pembungkusan biorosot yang dibenarkan secara berperingkat dan menjual beg kitar semula bagi kemudahan pelanggannya.

Baru-baru ini, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata kerajaan negeri memberikan tempoh setahun sebagai tahun penguatkuasaan melalui pendidikan untuk penggunaan bahan pembungkusan biorosot.

Tempoh bertenang itu akan bermula dari 1 Jan hingga 31 Dis 2018 bagi memberi peluang kepada orang awam serta peniaga mengambil maklum dan bersedia mematuhi peraturan yang ditetapkan tersebut sebelum dikuatkuasakan sepenuhnya pada 1 Jan 2019. – BERNAMA

Kategori