JOSE Mourinho mengakui kecewa dengan corak permainan Romelu Lukaku ketika Manchester United terikat seri 2-2 dengan Burnley pada perlawanan Liga Perdana Inggeris sempena Boxing Day, malam Selasa.
Anak buah Sean Dyche berada di depan menerusi jaringan Ashley Barnes dan Steven Defour masing-masing pada minit ketiga dan 36.
Namun pasukan tuan rumah bangkit merapatkan jurang mata menerusi jarigen Jesse Lingard pada minit ke-53.
Lingard sekali lagi muncul penyelamat United apabila menjaringkan gol penyamaan pada masa kecederaan.
Sementara itu, Lukaku gagal menyerlah sepanjang perlawanan itu dan tandukannya sekadar terkena palang.
Malah Mourinho berkata dia amat mengharapkan ‘kejutan’ daripada Lukaku tetapi sebaliknya berlaku.
“Saya boleh kata kita ada sedikit peningkatan pada babak kedua. Saya gembira dengan usaha yang dilakukan dan kita tidak tewas. Tapi sudah tentu kita hilang dua mata,” katanya.
Penyokong United turut menyalahkan Lukaku kerana gagal menghalang gol Barnes.
Mereka meluahkan rasa tidak puas hati dengan prestasi pemain kebangsaan Belgium itu di laman Twitter.
@mufc4thefan berkata: “Saya tidak pernah melihat penyerang seteruk Lukaku. Saya lega dia tidak beraksi semasa kita memenangi Piala Liga.” – mStar Online