HULHUMALE (Maldives) – Permata Negara akan bekerjasama dengan Fiyavathi Shelter bagi menyediakan Kurikulum ECEC (Pendidikan dan Penjagaan Awal Kanak-kanak) berasaskan Kurikulum Permata Negara serta memberikan latihan kepada tenaga pendidik di pusat berkenaan.
Isteri Perdana Menteri yang juga Penaung Yayasan Permata Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor, yang melawat Fiyavathi Shelter hari ini, juga berjanji memberi sumbangan sebanyak US$10,000 daripada Yayasan Permata Malaysia dan US$2,000 daripada Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri (BAKTI).
Dalam lawatan ke pusat perlindungan kanak-kanak itu, Rosmah yang juga Yang Dipertua BAKTI, turut mendengar taklimat mengenai program pusat berkenaan yang pada masa ini menempatkan 94 bayi, kanak-kanak dan remaja berusia sehingga 13 tahun.
Sementara itu, isteri Presiden Maldives, Fathimath Ibrahim pula menzahirkan hasratnya untuk meningkatkan taraf pendidikan awal kanak-kanak di Maldives dan menyuarakan harapannya untuk bekerjasama dengan Permata Negara.
Rosmah mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Maldives yang berakhir hari ini. – BERNAMA