PADANG BESAR – Pengerusi Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin meminta kerajaan memberi kelonggaran bagi mempermudahkan untuk membawa masuk pekerja asing untuk sektor perladangan.
Beliau berkata kekurangan pekerja dalam sektor itu menyebabkan kira-kira 600,000 pengusaha ladang sawit mengalami kerugian besar kerana buah tidak dapat dipetik atau lewat dipungut.
“Saya mohonlah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengawal pengambilan pekerja asing dengan memberi permit kepada pihak tertentu untuk mengambil pekerja atau buruh dalam sektor perladangan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan ‘Kembali Ke Sekolah 2018’ peringkat Parlimen Padang Besar di sini, hari ini.
Zahidi yang juga anggota Parlimen Padang Besar berkata hanya mereka yang terlibat dalam sektor perladangan lebih mengetahui pekerja yang sesuai untuk sektor tersebut.
Katanya industri sawit antara eksport komoditi terbesar negara bernilai berbilion ringgit setahun akan menghadapi masalah jika kekurangan pekerja tidak diberi perhatian serius oleh kerajaan.
Berhubung penanaman ketum, Zahidi berkata pihak yang menentang penanamannya secara komersial harus melihat daripada perspektif perubatan dan mendengar pendapat pakar terlebih dahulu.
Katanya ramai pihak bercakap tentang aspek negatif ketum tanpa mengambil kira kebaikannya sedangkan negara-negara barat menerima tumbuhan itu sebagai bahan untuk mengubat beberapa jenis penyakit.
“Vietnam dan Indonesia kini menjadi pengeksport ketum bernilai jutaan ringgit setiap bulan dan sebaliknya kita kerugian dari segi hasil sedangkan kawasan dari utara Perak hingga Perlismempunyai spesies ketum terbaik kerana kerana kandungan bahan perubatannya sangat tinggi,” kata Zahidi.
Beliau berkata Risda akan memberi penerangan berkaitan ketum kepada anggota Parlimen dan agensi kerajaan berkaitan tidak lama lagi. – BERNAMA