KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melancarkan pameran Koridor Penerangan yang antara lain memaparkan pencapaian beliau sepanjang menyandang jawatan Perdana Menteri sejak 2009.
Koridor Penerangan itu, yang dianjurkan jentera penerangan UMNO bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, mempamerkan pelbagai gambar yang bertemakan legasi kepimpinan cemerlang Najib yang juga presiden UMNO.
Perhimpunan Agung UMNO itu bermula hari ini hingga 9 Disember ini.
Selain itu, gambar-gambar pertandingan fotografi bertema ‘Perdana Menteri Prihatin Rakyat’ juga dipamerkan selain elemen yang menonjolkan aktiviti jentera penerangan UMNO.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Bendahari UMNO, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak dan Ketua Penerangan parti, Tan Sri Annuar Musa.
Hadirin turut menikmati minum petang di hadapan satu lagi komponen pameran iaitu sebuah trak LED yang dilengkapi pentas khas bagi perrsembahan muzik dan nyanyian artis jemputan.
Pada sesi hari ini, mereka dihiburkan dengan persembahan kumpulan Muzik Rakyat Kelantan atau Muzirat yang mempersembahkan lagu-lagu berkisar latar belakang perdana menteri dengan diiringi alat muzik daripada bahan terbuang.
Najib dijadual merasmikan perhimpunan agung tahunan parti itu Khamis ini. – BERNAMA