KUALA LUMPUR – Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan terus memberi tumpuan kepada pelaburan dalam dana ekuiti awam dan ekuiti swasta pada 2018, kata Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Abdul Rahman Ahmad.
Katanya, ekuiti awam akan menjadi fokus utama PNB memandangkan dana itu telah menjadi bidang kepakaran syarikat berkenaan selama bertahun-tahun.
“Dari segi sejarah, kita sudah mempunyai portfolio yang kecil dalam ekuiti awam global,” katanya kepada media semasa taklimat suku keempat PNB 2017 di sini hari ini.
Dana ekuiti swasta global pula, akan terus kekal di bawah pemerhatian khusus syarikat kerana sejak 15 tahun lepas, statistik menunjukkan bahawa dana tersebut telah menjana hasil yang lebih baik berbanding kelas aset yang lain.
“Strategi kami adalah untuk terus berhati-hati ketika kedudukan aset antarabangsa kami ditingkatkan, dan ini terbukti berkesan pada 2017. Kami akan mengekalkan sikap konservatif ini,” katanya.
Pada 30 Nov 2017, aset PNB bertambah sebanyak 4.6 peratus kepada RM276.5 bilion daripada RM264.3 bilion dalam tempoh yang sama setahun sebelum ini.
Bagi Januari hingga Disember 2017, ekuiti awam menyumbang 70.8 peratus daripada aset syarikat, naik berbanding 69.9 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas, manakala pelaburan swasta merosot kepada dua peratus pada November 2017 daripada 2.6 peratus.
November juga mencatatkan penurunan pegangan tunai kepada 17.9 peratus daripada 19.8 peratus, sementara pendapatan tetap menokok 5.6 peratus daripada 3.9 peratus sebelum ini.
“Kami telah membuat imbangan semula ke atas peruntukan aset kami, mengubah kedudukan tunai kami ke dalam pelaburan swasta serta pendapatan tetap pada 2017,” kata Abdul Rahman.
Beliau ketika bercakap mengenai pelaburan hartanah, berkata syarikat akan terus mencari peluang-peluang pelaburan untuk tahun berikutnya, tetapi akan mengambil kira prospek industri.
“Sebagai contoh, kami lihat bahawa kenaikan dalam nilai pelaburan hartanah kami di Australia telah mencecah tahap optimum, jadi kami mengambil keputusan untuk melupuskannya,” katanya, sambil menambah bahawa senario yang serupa telah dilihat di London selepas pengunduran British dari Kesatuan Eropah.
Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Tan Sri Abdul Wahid Omar, berkata beliau menjangkakan pertumbuhan ekonomi negara pada 2018 akan meneruskan peningkatan momentum yang diperolehi pada 2017, walaupun dijangka sederhana iaitu antara 5 dan 5.5 peratus pada 2018.
“Kita meramalkan ringgit akan mengukuh ke arah RM4 berbanding US$1 menjelang akhir 2018, disokong oleh pemulihan dalam harga minyak mentah,” katanya. — BERNAMA