BAITULMAQDIS – Tunjuk perasaan di Asia Barat memasuki hari kelima, Isnin manakala kecaman terus dihamburkan terhadap Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump susulan isu Baitulmaqdis.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Menteri-Menteri Luar Kesatuan Eropah (EU) dengan menyifatkan ia sebagai tindakan bersejarah yang memungkinkan keamanan diperoleh walaupun pada masa sama, ratusan ribu penduduk mengadakan tunjuk perasaan di Lubnan.
Menurut Netanyahu, semua atau sebahagian besar pemimpin EU perlu mencontohi pendirian AS.
Kenyataan beliau itu bagaimanapun mendapat reaksi keras ketua dasar asing EU, Federica Mogherini yang meminta Netanyahu menyimpan pendapat berkenaan untuk dirinya sendiri.
Di Kaherah, presiden Russia Vladimir Putin menyifatkan pengumuman dibuat Trump itu sebagai merosakkan kestabilan di rantau berkenaan dan turut menggesa rundingan Israel – Palestin yang sekian lama tertangguh diadakan semula.
Usai pertemuan dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan di Ankara lewat Isnin, Putin berkata pengisytiharan dibuat Trump itu boleh menggugat usaha damai yang cuba diwujudkan di rantau berkenaan.
Dalam sidang media bersama, Erdogan berkata, beliau dan Putin mengambil pendekatan yang sama dalam isu berkenaan dan menuduh Israel cuba mencurah minyak ke dalam api.
Erdogan setakat ini dilihat sebagai antara pemimpin asing yang paling lantang memberi amaran susulan tindakan Trump itu. – AFP/BH ONLINE