KANGAR – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini berkenan menitahkan ucapan penghargaan serta tahniah kepada semua agensi bersama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang mempamerkan pelbagai kecemerlangan sepanjang tahun 2017.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah agensi itu termasuk Jabatan Mufti Negeri Perlis, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs).
“Saya amat berbangga dengan kejayaan dan pencapaian yang telah dicapai oleh MAIPs dan agensi bersamanya sepanjang 2017 ini.
“Momentum ini diharapkan dikekalkan bahkan dipertingkatkan demi kelestarian kejayaan tahun mendatang,” titah baginda merangkap Yang Dipertua MAIPs dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut kenyataan itu, baginda kini berada di Bangkok, Thailand dan menyerahkan sumbangan MAIPs kepada Masjid Haroon di kota raya berkenaan.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah pelbagai usaha dan inisiatif dilaksanakan MAIPs dan agensi bersamanya selain organisasi di bawah naungannya seperti Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM).
Pada 2017 MAIPs mencipta sejarah apabila muncul sebagai Majlis Agama Islam pertama menerima pengiktirafan Standard Accounting for Government Agencies (SAGA), manakala KUIPs muncul sebagai IPT pertama di Malaysia yang menerima pensijilan MS ISO 9001:2015.
Dalam pada itu baginda juga menitahkan bahawa segala penganugerahan dan pencapaian yang diterima bukan untuk dibangga tetapi perlu menjadi asas untuk mencipta kejayaan pada masa akan datang. – BERNAMA