KANGAR – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail hari ini berkenan berangkat ke program ‘Raja Memimpin Umat-Isu Palestin’ di Masjid Tuanku Syed Putra di sini, hari ini.
Turut berangkat pada perhimpunan itu, yang menyokong Palestin dan membantah tindakan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man juga menghadiri majlis itu.
Ketika bertitah pada majlis itu, Tuanku Syed Sirajuddin menyeru agar semua rakyat bersatu hati dan menetapkan janji setia untuk terus berusaha menyokong dan mempertahankan Palestin.
“Isu Palestin adalah isu akidah bagi seorang Muslim dan menjadi kewajipan untuk kita pertahankan. Isu ini bukan isu yang datang sekali-sekala dan pergi,” titah baginda.
Baginda bertitah pengiktirafan Trump itu bukan sahaja menyentuh sensitiviti umat Islam di seluruh dunia, malah secara terang-terangan melanggar resolusi dan keputusan Pertubuhan Bangsa Bersatu. – BERNAMA