PERIT… Sebelum ini sebuah akhbar berpengaruh tempatan tahun lalu pernah menyiarkan laporan khas kisah pederitaan ramai warga Malaysia bekerja sebagai buruh kasar secara haram di Australia.
Kali ini akhbar tersebut dan sebuah portal berita tempatan memaparkan pula cerita sedih ratusan rakyat Malaysia yang menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI) di Korea Selatan akibat ditipu ejen tempatan akhir-akhir ini.
Hanya kerana mahu mengejar gaji lumayan dan tergoda dengan janji manis pihak tertentu, ada dalam kalangan warga Malaysia menjadi cacat anggota tubuh badan atau cedera akibat kerja berbahaya di negara Asia timur itu.
Memang kasihan, tetapi itulah realiti kehidupan pahit di sana sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Segala-galanya kerana pengaruh tarikan upah mata wang won Korea Selatan sehingga menjadi hamba abdi era moden!
Pendedahan insiden menyedihkan itu dibongkar dengan pendedahan beberapa rakyat Malaysia yang pernah menjadi mangsa dan sumber rapat dengan mereka kepada pihak mStar online.
Kumpulan ini, jika sekali pun ‘terlepas’ risiko ditipu ejen yang menguruskan kemasukan mereka, ia sama sekali tidak menjanjikan kesenangan hidup atau gaji tinggi seperti yang diimpikan sebelum terbang ke negara K-Pop itu.
Hakikat ini diakui beberapa mangsa, hanya kerana keterujaan untuk dapat tawaran gaji tinggi antara RM6,000 hingga RM12,000 sebulan, sambil kononnya mahu mahu menimba pengalaman bekerja di luar negara.
Selain ditipu dan tidak dibayar gaji yang dianggap kes biasa, ada yang mendakwa dipukul dan didera, dimanipulasi, serta diabaikan teruk dari segi aspek kebajikan dan keselamatan sebagai pekerja oleh pihak majikan.
Paling mengejutkan apabila ada antara mereka yang sebelum ini sempurna, terpaksa pulang ke tanah air dalam keadaan cacat dan cedera akibat kemalangan di tempat kerja, dan lebih sedih apabila majikan hanya lepas tangan.
Semua ini kerana mereka masuk dengan cuma menggunakan visa pelancong selama tiga bulan yang memang perlu diperbaharui apabila hampir tamat tempoh dan status mereka di sana sebenarnya sebagai buruh haram!
Antara yang menjadi mangsa ialah seorang bekas pramugari di sebuah syarikat penerbangan Malaysia yang putus empat jari tangan ketika sedang bekerja di sebuah kilang besi, sekitar April lalu.
“Saya hanya fikir tentang duit apabila memilih bekerja di Korea Selatan sehingga sanggup melupakan aspek keselamatan diri,” katanya yang berusia 26 tahun, tetapi enggan mendedahkan identitinya.
Afiq (bukan nama sebenar), 22, yang memiliki diploma dari sebuah institusi pengajian tinggi di Kuala Lumpur pula cedera pada lutut apabila terlibat dalam kemalangan di kilang konkrit tempat dia bekerja kira-kira enam bulan lalu.
Malang nasibnya apabila majikan bukan saja berlengah-lengah untuk menghantarnya ke hospital dengan memberi 1001 alasan, tetapi juga enggan menjelaskan bil rawatan sebanyak RM33,737 seperti yang dijanjikan.
“Sebaliknya mereka menyuruh saya balik ke Malaysia untuk pembedahan dan datang bekerja semula apabila sembuh,” katanya. Bagaimanapun Afiq tidak menganggap dirinya ditipu ejen.
Sebaliknya ia lebih kepada menjadi mangsa majikan di Korea Selatan yang tidak mementingkan keselamatan dan kebajikan pekerja. Sumber mStar Online yang menetap di Korea Selatan mengakui realiti kejadian ini.
Dipercayai seramai kira-kira 300 rakyat Malaysia telah menjadi mangsa melibatkan 87 kes dalam tempoh dua tahun. Hampir semua yang bekerja di sana terpaksa memperjudikan nasib diri masing-masing.
Mangsa terbabit sebelum itu diminta membayar antara RM4,000 hingga RM5,000 kepada ejen tanpa mengetahui tugas atau bidang kerja yang bakal ditawarkan kepada mereka apabila tiba di Korea Selatan.
“Sebanyak 90 peratus yang datang bekerja di sini adalah lelaki dan mereka dikehendaki melakukan kerja dalam pelbagai bidang seperti pekilangan, pembinaan dan perladangan di beberapa lokasi seluruh Korea Selatan.
“Kebanyakan mereka berusia 20 hingga 30 tahun ini ditawarkan kerja-kerja berat, termasuklah wanita,” dakwanya sambil menambah ada juga pekerja Malaysia yang berusia lebih 40 dan 50 tahun.
Bagaimanapun beliau berkata, setakat ini belum ada laporan mangsa wanita yang ditawarkan kerja sebagai pelacur. Dalam pada itu, beliau turut mengakui bahawa tidak semua rakyat Malaysia yang datang akan bernasib tidak baik.
“Ada mujur bekerja dengan selamat dan mendapat gaji lumayan seperti yang dijanjikan. Jika bernasib baik, mereka akan mendapat pekerjaan yang memang sesuai dengan diri dan tahap kemampuan mereka.
“Tetapi kebanyakannya diberikan tugas berat,” katanya sambil menambah nisbahnya adalah 2:10. Mereka tidak dilindungi undang-undang buruh Korea Selatan dan terdedah kepada eksploitasi majikan yang zalim.
Apa yang pasti, sama ada mereka ini pulang semula ke Malaysia dengan membawa habuan lumayan atau terpaksa kembali dalam keadaan cacat, mereka tetap tidak dapat lari daripada gelaran ‘buruh haram’.
Persoalannya, adakah wajar mereka ini mendapat pembelaan dan adakah ejen yang tanpa rasa takut menawarkan peluang kerja ini secara terbuka patut dibiarkan terlepas begitu sahaja? – Agensi/Mynewshub.cc/HAA