LANGKAWI – Atlet Langkawi, Lim Chee Yong, 17, mencipta sejarah apabila diisytiharkan sebagai satu-satunya rakyat Malaysia yang melayakkan diri ke perlumbaan lasak Kejohanan Ironman Dunia di Kailua-Kona, Hawaii Oktober tahun depan.
Pengarah Urusan Ironman Malaysia, CG Lim berkata Chee Yong melayakkan diri setelah menduduki tempat ketiga dalam kumpulan umurnya pada Ironman Malaysia Langkawi bulan lepas.
“Ia merupakan suatu sejarah juga kerana inilah kali pertama atlet kelahiran Langkawi layak ke kejohanan dunia berprestij itu, yang dijadual berlangsung pada 13 Oktober 2018,” katanya selepas majlis makan malam penghargaan bagi meraikan para sukarelawan Ironman Malaysia Langkawi malam tadi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Datuk Azizan Noordin berkata kejayaan Chee Yong itu dicapai hasil kegigihan pulau ini dalam menjadi hos acara triathlon antarabangsa berkenaan sejak 2014.
“Inilah antara kesan positif daripada menjadi hos acara sukan antarabangsa terkemuka ini, yang telah menjana hasil kira-kira RM32 juta bagi masyarakat setempat dan tidak kurang RM13 juta dari segi nilai media pada tahun ini,” katanya. – BERNAMA