KUALA LUMPUR – Penulis buku, Budiman Mohd Zohdi menerima kejutan apabila Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menyaksikan pelancaran karyanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Sungai Besar itu kemudiannya mempelawa Ahmad Zahid untuk turut melancarkan karyanya yang berjudul ‘Budi Bicara’ bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.
“Saya gembira kerana Ahmad Zahid bersetuju dan terharu kerana dua pemimpin besar negara sudi melancarkan buku saya ini,” kata Budiman.
Menurutnya, karya itu banyak membincangkan mengenai isu politik yang hangat antaranya pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES), pembaharuan Dasar Buku Negara dan kelangsungan industri buku tempatan.
Jelas Budiman lagi, kesemua isu berkenaan disampaikan beliau dalam gaya penulisan yang mudah dibaca serta difahami oleh semua pembaca.
“Saya yakin walaupun dunia beralih kepada era digital, masih ramai baca buku malah kegemilangan industri buku dan sumber bacaan konvensional seperti akhbar akan kembali bila tiba masanya.
“Sesuai dengan perkembangan era digital, tulisan ini juga dimuatkan dalam media sosial seperti blog dan Facebook,” katanya.
Sementara itu, Budiman berkata lagi, Ahmad Zahid menasihati para penulis untuk lebih menghasilkan karya yang boleh membuka minda masyarakat dalam pelbagai isu termasuk politik.
Untuk pengetahuan umum, Budi Bicara merupakan buku yang mempunyai 22 rencana yang ditulis dalam tiga bahasa berbeza iaitu Melayu, Inggeris dan Cina.
Buku yang mempunyai 129 halaman muka surat itu dijual dengan harga RM30 senaskah dan boleh didapati sepanjang berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2017 di PWTC. – MYNEWSHUB.CC/AM