PARIS – Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo terus melakar sejarah baharu dalam kariernya apabila memenangi anugerah berprestij Ballon d’Or buat kali kelima selaku pemain terbaik dunia tahun ini.
Ia sekali gus menyamai pencapaian seteru utamanya, Lionel Messi yang pernah menjulang gelaran itu sebanyak lima kali dengan pemain Argentina itu kali ini sekadar berada di tempat kedua manakala Neymar dari Brazil ketiga.
Kejayaan penyerang berusia 32 tahun itu satu penamat sempurna dalam musim hebat apabila dia muncul penjaring terbanyak Liga Juara-Juara yang menyaksikan kelabnya, Real Madrid menewaskan Juventus pada aksi final.
Selain itu, pemain yang diketahui sebagai anti-Israel tersebut turut mengetuai kelab gergasi Sepanyol berkenaan untuk tampil memenangi kejuaraan La Liga dan kali pertama dalam tempoh lima tahun.
“Sudah tentu saya berasa amat gembira. Ini sesuatu yang saya nantikan setiap tahun,” kata Ronaldo pada majlis diadakan di Menara Eiffel di ibu kota Perancis tersebut lewat Khamis (pagi Jumaat waktu Malaysia).
“Ia anugerah sama dimenangi tahun lalu (kali kedua berturut-turut), terima kasih kepada rakan sepasukan di Real Madrid dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang membantu saya mencapai tahap ini.”
Sebelum ini, Ronaldo memenanginya sebanyak empat kali iaitu pada 2008, 2013, 2014 dan 2016 selain turut dinobat selaku pemenang anugerah Pemain Terbaik FIFA di London dua bulan lalu.
Dia menjaringkan 42 gol dalam semua pertandingan untuk Real musim lalu selain meledak 15 gol buat pasukan kebangsaannya sepanjang kelayakan Piala Dunia 2018.
Pada Piala Dunia di Russia tahun depan, sudah pastinya Portugal akan hadir selaku pasukan pilihan dengan status juara Eropah selepas berjaya menumbangkan Perancis pada final tahun lalu ketika Ronaldo mengetuai pasukannya.
“Saya harap dapat terus bermain di peringkat ini untuk beberapa tahun lagi, malah saya anggap persaingan dengan Messi sesuatu yang sihat dan harap ia akan berterusan.
“Musim ini cukup baik bagi perjalanan karier saya dan tidak sabar untuk menanti musim depan,” katanya.
Apabila ditanya sama ada dia mahu menamatkan kerjayanya di Santiago Bernabeu, Ronaldo berkata: “Saya gembira di Real Madrid, saya mahu kekal di sana.” – Agensi/Mynewsub.cc/HAA