LABUAN – Sejak beberapa hari lepas, Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli sibuk membuat tinjauan dan pemeriksaan untuk memastikan pelaksanaan projek kerajaan di pulau bebas cukai ini berjalan lancar.
Ketika melawat beberapa kampung untuk melihat sendiri kemajuan projek berorientasikan rakyat itu, beliau diiringi ketua pegawai eksekutif Perbadanan Labuan (LC) dan para pemimpin masyarakat.
Rozman, yang juga Pengerusi LC, turut meninjau projek jambatan berharga RM2.5 juta yang disiapkan untuk kegunaan semakin banyak penduduk yang tinggal di kampung air Kg Bebuloh Laut, Kg Rancha-Rancha Laut dan Kg Patau-Patau 1 dan 2.
“Kami sudah melawat semua projek di empat kampung air dan kesemuanya sudah disiapkan dengan jayanya…saya sungguh gembira dengan penerangan lengkap yang diberi tentang pembangunan di kampung berkenaan,” katanya kepada Bernama hari ini.
Rozman berkata kerajaan amat komited dalam memastikan projek itu siap mengikut jadual demi kepentingan rakyat.
Beliau memuji penduduk kampung berkenaan kerana memberi kerjasama penuh kepada kerajaan Barisan Nasional seperti yang terbukti dalam setiap pilihan raya.
“Kami sedar, jika ingin menarik lebih banyak pelawat, kami perlu meningkatkan daya tarikan supaya apabila datang ke sini, mereka akan menikmati pengalaman yang menarik. Oleh itu, kami melaksanakan projek ini, bukan sahaja untuk rakyat, tetapi juga untuk pelawat.
“Kerajaan Barisan Nasional dan pemimpinnya sentiasa turun padang untuk bertemu rakyat dan memahami masalah yang mereka hadapi,” kata beliau. – BERNAMA