SANDAKAN – Seorang pengusaha rumah burung walet (RBW) di sini menjadikan penglibatannya dalam industri itu untuk berkongsi rezeki membantu masyarakat khususnya di luar bandar Sabah bagi meningkatkan pendapatan mereka.
Harthono Isnanthomo atau lebih dikenali sebagai Cikgu Harthono, 52, mula serius dengan perniagaan RBW pada awal tahun ini dengan menubuhkan syarikat Bumi Hijau Agro Enterprise Sdn Bhd.
Selain mengeluarkan modal sendiri mencecah ribuan ringgit menggunakan wang simpanan, beliau yang berkhidmat di Pejabat Pendidikan Daerah Sandakan turut mengambil cuti tanpa gaji selama setahun bagi menumpukan usaha itu.
Ternyata, komitmen serta niatnya membuahkan hasil apabila syarikat itu berjaya membina 40 RBW secara pakej perkongsian dengan penduduk setempat di beberapa daerah seperti Paitan, Kudat, Pitas, Kota Marudu, Kunak dan Ranau, setakat ini.
“Pada mulanya saya mahu menjalankan perniagaan ini secara sendirian. Namun selepas bertemu ramai yang berdepan masalah kewangan, ia memberi idea untuk membangunkan perusahaan RBW secara perkongsian,” katanya kepada Bernama di sini.
Harthono yang meminati perniagaan itu berikutan potensi serta perkembangannya di Sabah, berkata syarikat tersebut turut menyediakan pakej bayaran secara ansuran untuk mereka yang kurang berkemampuan iaitu secara berkongsi 10 orang sekumpulan dengan setiap orang membayar RM1,500 bagi membina sebuah RBW.
Daripada hasil RBW itu, 70 peratus diberikan kepada pengusaha, 20 peratus kepada syarikat manakala baki 10 peratus untuk pemilik tanah.
Mengulas pendapatan yang diraih, Harthono berkata hasil sarang burung walet memberi pulangan jauh lebih lumayan berbanding kelapa sawit yang mengikut musim.
Setiap tuaian sarang burung walet itu pula bergantung kepada saiz rumah dengan harga pasaran ketika ini mencecah RM5,600 sekilogram.
”Ramai individu dapat mengubah kehidupan mereka menerusi perusahaan RBW kerana hasil pulangannya mencecah ribuan ringgit.
“Masyarakat luar bandar boleh menceburi bidang RBW kerana selain menghasilkan pendapatan jangka panjang, usaha ini juga boleh diwariskan kepada anak-anak,” katanya. — BERNAMA