KUALA LUMPUR – Penjaga gol hoki kebangsaan S. Kumar, yang gagal ujian doping, membuat keputusan enggan melakukan ujian sampel B sebaliknya mahu terus memohon ke sesi pendengaran bersama Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dalam tempoh terdekat.
Penjaga gol berasal dari Tampin, Negeri Sembilan itu berkata pendirian beliau yang enggan menguji sampel B itu bukannya kerana sudah mengaku bersalah ataupun menerima keputusan FIH itu, tetapi kerana beliau tidak mahu melengahkan masa.
“Semua tahu semasa ujian doping itu, mereka (WADA) mengambil urin yang sama dan dimasukkan dalam dua bekas berbeza untuk dijadikan sampel A dan B.
“Jadi, 99.9 peratus keputusannya akan sama seperti sampel A…daripada saya buang masa untuk uji sampel B, lebih baik terima keputusan itu dan fokus untuk sesi pendengaran bersama FIH,” katanya kepada pemberita pada sidang media khas di sini hari ini.
Kumar, 38, didapati positif ujian doping yang dilakukan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) semasa aksi terakhir peringkat kumpulan Piala Asia 2017 ketika bertemu Oman pada 16 Okt lepas.
Mengulas lanjut, Kumar mengakui beliau berasa terkejut serta hairan sebaik menerima berita berkenaan kerana beliau langsung tidak menyangka akan gagal dalam ujian doping tersebut.
“Sebelum ini, banyak kejohanan yang saya sertai, selalunya memang saya yang dipilih untuk menjalani ujian doping, mungkin kerana faktor usia saya yang mampu lagi beraksi di peringkat tertinggi.
“Terbaharu, sewaktu beraksi di pusingan kelayakan Piala Dunia di London tempoh hari, saya juga dipilih secara rambang untuk menjalani ujian doping. Namun, semuanya berjalan lancar dan tiada masalah,” katanya.
Ketika ditanya makanan apa yang menjadi punca beliau dikesan menggunakan bahan terlarang Sibutramine dalam ujian sampel air kencingnya, Kumar juga masih mencari jawapan dan seakan tidak pasti di mana puncanya.
“….itu saya tidak pasti. Selalunya saya akan mengambil 100 peratus suplemen yang dibekalkan Institut Sukan Negara (ISN).
“Saya kena cuba ingat kembali. Sudah tentu jika saya tahu sesuatu makanan itu mengandungi bahan terlarang, sudah pasti saya tidak akan mengambilnya,” kata beliau.
Sementara itu, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Subahan Kamal berkata pihaknya akan sedaya upaya berusaha agar sesi pendengaran bersama FIH itu dijalankan secepat mungkin.
“KHM akan cuba usahakan sesi pendengaran itu selewat-lewatnya Januari tahun depan untuk selesaikan isu ini dan kembali menumpukan kepada perancangan pasukan kebangsaan,” katanya.
Untuk rekod, Kumar yang sudah membuat 295 penampilan di peringkat antarabangsa bersama pasukan kebangsaan, tidak pernah mempunyai masalah disiplin sepanjang memegang posisi di benteng terakhir skuad negara itu dan beliau juga tidak pernah gagal ujian doping yang dijalankan sebelum ini.
Kumar akan digantung sementara daripada terbabit dengan sebarang aktiviti hoki selama dua tahun, sehingga selesai sesi pendengaran yang dijangka diadakan Januari tahun depan. – BERNAMA