MINGGU lalu, legenda artis rock tanah air, Amy Search berang kerana ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan gambarnya sebagai teknik untuk melariskan satu produk.
Baca: Seperti Dipergunakan, Amy Search Amuk Di Instagram
Syarikat By Dr Azlan menerusi peguamnya, Sharulazwad Ismail tampil menjelaskan isu itu.
Menurutnya, pihak By Dr Azlan tidak berniat untuk menipu Amy Search dan telah mengenal pasti individu yang mencetuskan kontroversi berkenaan.
“Pihak syarikat mengetahui isu ini selepas gambar terbabit dipaparkan di Instagram Amy sebelum dilaporkan dalam beberapa media.
“Selepas menyiasat, didapati ia perbuatan salah satu wakil ejen produk ini yang menggunakan khidmat orang tengah untuk mendapatkan gambar Amy memegang produk berkenaan.
“Gambar berkenaan seterusnya diletakkan watermark nama dan nombor telefon ejen terbabit sebelum dikongsikan di laman Facebook rasmi kendaliannya. Pihak syarikat kesal dengan salah faham berlaku,” katanya dipetik Harian Metro.
Terdahulu, penyanyi Isabella itu memuat naik satu foto yang tertulis ‘penipuan’ di laman Instagramnya sekaligus meluahkan rasa kesalnya.
Namun, ada pula pihak yang menyatakan tindakan itu adalah gimik dan promosi untuk menarik perhatian netizen untuk membeli produk tersebut.
Bagaimanapun, menurut Shahrulazwad, foto tersebut telah memberikan impak negatif kepada syarikat dan produk mereka.
“Ini bukan satu strategi daripada syarikat bagi melariskan produk. Kami ada cara tersendiri memasarkan produk seperti iklan di TV dan radio.
“Syarikat sudah memberi amaran kepada ejen terbabit dan juga kepada semua ejen produk. Malah, ejen ini juga dalam pemerhatian syarikat.
“Diharapkan penjelasan ini dapat menghentikan serta merta semua persepsi dan prasangka buruk terhadap produk dan nama syarikat,” katanya.
Dalam pada itu, pihak Syarikat By Dr Azlan menyatakan keterbukaannya untuk duduk semeja dengan penyanyi atau wakil penyanyi tersebut bagi menjelaskan perkara itu supaya tiada lagi salah faham yang timbul. – MYNEWSHUB.CC/SA