SIBU – Sarawak Hidro Sdn Bhd (SHSB) memulakan pelepasan air dari Empangan Bakun bagi menurunkan paras air di empangan berkenaan hari ini.
Menurut notis dikeluarkan SHSB, pelepasan dilakukan bermula 9 pagi tadi dan dijangka berterusan selama tiga minggu.
Pelepasan air itu akan dilakukan secara berhati-hati dan terkawal berdasarkan pengalaman lalu untuk mengurangkan kesan ke atas kawasan hiliran Sungai Rejang dari empangan tersebut sehingga ke kawasan Sibu, kata notis tersebut.
Penduduk juga dinasihati agar sentiasa berwaspada terhadap paras air yang naik serta arus deras semasa pelepasan air tersebut.
Orang ramai boleh menghubungi pusat khidmat pelanggan 24 jam SHSB di talian 1300 88 3111 untuk sebarang pertanyaan.
Paras air di empangan tersebut naik berikutan musim tengkujuh sekarang. – BERNAMA