MAROUANE Fellaini berkata dia dilayan seperti seorang ‘pembunuh’ ketika di England dan tidak pasti sama ada akan kekal bersama Manchester United.
“Mereka melabelkan saya sebagai pemain agresif, seorang pembunuh.
“Lihat… saya fanatik. Pasukan mahukan kemenangan pada waktu sukar tetapi ada masa saya tampil beraksi dengan agresif.
“Apa yang perlu saya lakukan jika mereka menarik rambut saya? Bunyinya kelakar tetapi ia amat menyakitkan.
“Musim lalu saya digantung selepas menanduk Sergio Aguero. Dia meluru ke arah saya dan kemudian terjatuh. Tetapi saya dilayangkan kad merah.
“Pemain suka mencetuskan provokasi terhadap saya tetapi anda tahu berapa banyak kad kuning yang saya perolehi musim lalu? Empat dalam 45 perlawanan. Saya tidak pernah memusnahkan karier seseorang,” katanya dalam temubual bersama laman web Belgium, HUMO.
United menawarkan kontrak lanjutan selama setahun kepada Fellaini pada awal musim tetapi kali ini pasukan itu berdepan kesukaran memujuknya untuk kekal lebih lama di Old Trafford.
“Mereka ada buat tawaran. Sama ada saya menerimanya, saya tidak tahu. Kita tunggu dan lihat. Anda tidak boleh mengatur sesuatu seperti itu dalam masa singkat.
“Jika United tidak mahukan saya lagi, mereka perlu katakannya sekian lama,” katanya.
Fellaini boleh memulakan rundingan dengan mana-mana kelab awal bulan depan tetapi pada masa sama bebas meninggalkan United apabila kontraknya berakhir hujung musim ini. – mStar Online