JUMAAT merupakan hari keempat berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU 2017) yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Hasil daripada tinjauan kami mendapati ribuan perwakilan ahli parti Melayu terbesar dunia itu yang datang dari seluruh negara membanjiri dan berkampung di lokasi berkenaan.
Bukan itu sahaja, malah antara ramai-ramai yang membanjiri itu turut kelihatan beberapa selebriti terkenal tanah air hadir bagi memeriahkan agenda terbesar kerajaan tersebut.
Menerusi posting terbaru di Instagram milik pengarah terkenal, Erma Fatima ada memuat naik beberapa foto dan video memaparkan keberadaan beliau di perhimpunan berkenaan.
Menurut Erma, tahun ini merupakan pengalaman pertama beliau bersama ‘turun padang’ menyertai perhimpunan terbesar parti pemerintah kerajaan berkenaan.
Erma berkata lagi, tujuan beliau berada di PAU berkenaan juga ekoran ingin melihat serta mendengar sendiri semangat bangsa terbesar negara dalam mempertahankan maruah Melayu.
“Pertama kali aku masuk ke dalam persidangan yang dipenuhi dengan laut semangat merah menyala ini. Aku mahu melihat dan mendengar semangat MELAYU.
“Semangat MELAYU yang diturunkan oleh datuk moyang kita berpuluh tahun dulu untuk anak bangsanya. Semangat panglima dan srikandi MELAYU.
“Semangat pejuang-pejuang yang menggadaikan harta dan nyawa demi maruah MELAYU. Semangat yang tidak lapuk di makan zaman, tak lekang dek teknologi.
“Semangat yang cintakan agama, bangsa dan negara. Semangat yg tak me-LAYU kan peradaban kita. SEMANGAT ITU YANG AKU CARI DISINI. 😢😢😢😢😢,” tulisnya menerusi salah satu posting tersebut.
Sementara itu, antara selebriti lain yang turut sama menghadiri perhimpunan ialah pengarah filem, Suhaimi Baba dan Datuk Yusof Haslam, pelakon, Arja Lee, Vanida Imran serta penyanyi, Jamal Abdillah dan Wany Hasrita.
Keadaan ini jelas menggambarkan bahawa lebih ramai artis yang ‘turun padang’ berbanding segelintir kecil yang diketahui cenderung pembangkang sibuk ‘meroyan’ di media sosial. – MYNEWSHUB.CC/AM