KUALA LUMPUR – Ramai pendakwah agama hari ini berdakwah tanpa guru untuk menasihati dan membimbing mereka.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, situasi itu menjadikan seolah-olah Islam itu tercipta hasil fikiran mereka.
“Seolah-olah Islam itu terbenih dari otak fikir mereka yang tidak bersih akibat campur aduk dengan pemikiran asing yang berlawanan dengan agama.
“Tanpa mereka sedar, mereka telah melakukan jenayah terhadap agama sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nik Mohamad Abduh berkata, umat Islam selepas kewafatan baginda (Nabi Muhammad S.A.W) telah menerima Islam yang sempurna.
Justeru, katanya, mencacatkannya dengan ajaran yang separuh-separuh dan terpilih adalah jenayah yang nyata terhadap Islam.
“Ia merosakkan Islam sebelum penganutnya secara sengaja,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan bukan mudah menjadi pendakwah kerana ia adalah tanggung jawab yang berganda. – MYNEWSHUB.CC