PENYANYI dan pelakon Nana atau Siti Nordiana telah berangkat ke kota suci Makkah bagi menjalani ibadah umrah bersama-sama dengan anak dan keluarganya.
Namun sebelum berangkat ke sana, pelantun suara bagi lagu Terus Mencintai itu dilaporkan memohon maaf kepada semua yang mengenali dirinya.
Permohonan maaf tersebut malahan telah dimuat naik menerusi laman Instagram miliknya.
“Assalamualaikum. Saya dan keluarga akan berangkat ke Makkah untuk menunaikan umrah.
“Jadi saya menyusun 10 jari memohon maaf jika ada tersalah laku atau terkasar bahasa atau terlebih gurauan,” tulisnya di laman Instagram.
Dalam pada itu, ibu tunggal ini turut berdoa agar urusan umrah yang pertamanya ini dipermudahkan dan berjalan dengan lancar.
Rata-rata peminat dan pengikutnya di laman tersebut turut mendoakan kesejahteraan dan dipermudahkan urusan buat penyanyi itu agar dapat menjalani ibadah dengan sebaiknya.
Menurut InstaStory yang dimuat naiknya melalui laman Instagram, Nana telah pun selamat sampai ke Tanah Suci pada pagi Rabu.
Dalam pada itu, khabarnya penyanyi 33 tahun ini bakal terikat dengan pengambaran drama terbaharu arahan Michael Ang sekembalinya ke tanah air.
Khabarnya, drama yang bertajuk Pengantin Musim Salju itu akan menggandingkan dirinya sekali lagi bersama pelakon dan pengacara Alif Satar.
Pengambaran drama itu juga berkemungkinan besar akan mengambil tempat di Korea Selatan. Makin bertambah rezeki Nana selepas lebih sedekad ‘hilang’ dari industri.
Harapnya semoga segala urusan dipermudahkan dan diberi nikmat kesihatan yang baik dalam menjalani ibadah umrah tersebut. – MYNEWSHUB.CC/SA