KUANTAN – Dari jauh kelihatan lapan lelaki berpakaian seragam operasi berlari-lari anak ke arah helikopter EC725 yang berada di tengah-tengah landasan Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di sini.
Sebaik sahaja tiba, kapten yang bertanggungjawab menerbangkan helikopter pantas melakukan semakan sebelum menandatangani borang penerimaan, sementara pegawai lain membuat pemeriksaan keselamatan ke atas alatan yang akan dibawa.
Semuanya berlaku dalam tempoh yang singkat dan bunyi mesin ‘generator power’ bagi menghidupkan helikopter seakan-akan memberi isyarat semuanya sudah bersedia untuk melaksanakan tugasan yang diamanahkan.
Komander Pangkalan Udara Kuantan Brigedier Jeneral Datuk Noor Mohamad Akmar Mohammad Dom berkata persediaan untuk menerbangkan sebuah helikopter pada operasi banjir atau dikenali sebagai Operasi Murni berlaku dalam tempoh kurang 15 minit.
Penggunaan helikopter pada operasi banjir diselia oleh Pusat Kawalan Operasi (PKO) Skuadron 10 Kuantan yang kini ‘hanya menanti semboyan’ untuk diaktifkan, sebaik sahaja Pusat Operasi Kawalan Banjir (PKOB) Negeri dibuka.
SEDIA BERKHIDMAT
“PKO beroperasi 24 jam sehari dengan kekuatan 36 anggota dalam satu-satu masa. Pegawai dan kakitangan dibahagikan kepada tiga syif sepanjang pusat ini beroperasi,” katanya selepas menyertai simulasi Operasi Murni Pantai Timur 2017 di sini, baru-baru ini.
Beliau menambah untuk tahun ini, dua buah helikopter EC725 sudah berada dalam keadaan siap siaga bagi kerja menghantar bantuan atau menyelamat jika banjir di Pahang, Kelantan atau Terengganu menyebabkan laluan darat dan air terputus.
Meskipun Pahang belum dilanda banjir sehingga hari ini, PKO sedang memantau keadaan di Kelantan dan Terengganu dan apabila wujud keperluan helikopter akan diterbangkan terus ke Pangkalan Udara Gong Kedak, Kelantan.
“Penggunaan helikopter akan diselia oleh TUDM berdasarkan kepada permintaan daripada PKOB negeri, memandangkan TUDM menugaskan dua pegawai di sana sepanjang tempoh pusat operasi.
“PKOB negeri akan menilai kawasan yang perlu diberi keutamaan dalam penggunaan helikopter sama ada untuk menghantar bekalan atau operasi menyelamat dan pegawai kami di sana akan memaklumkan PKO untuk tindakan seterusnya,” katanya.
ASET CAWANGAN LAIN TURUT DIGUNA
Noor Mohamad Akmar menambah PKO itu juga bukan hanya menyelia penggunaan helikopter milik TUDM, tetapi juga helikopter dari agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan pihak swasta.
Bagaimanapun, jika operasi itu dilakukan pada waktu malam, hanya helikopter TUDM sahaja dibenarkan untuk terbang kerana ‘kami mempunyai aset untuk berbuat demikian’.
Noor Mohamad Akmar menambah penyelarasan aset udara membolehkan operasi itu berlaku lebih teratur sekaligus menjimatkan perbelanjaan, sesuatu yang dipelajari daripada pengalaman banjir besar di Manik Urai, Kelantan pada 2014.
“Komunikasi adalah elemen penting dalam menghadapi bencana. Pengalaman lepas, kita melihat apabila orang berada dalam situasi panik, mereka cenderung untuk menghubungi pelbagai pihak bagi mendapatkan bantuan.
“Ia menyebabkan dalam satu masa yang sama, beberapa helikopter berada di ruang udara. Penambahbaikan yang dilakukan juga membolehkan helikopter diterbangkan ke kawasan paling kritikal dan memerlukan,” katanya.
PENGURUSAN LEBIH TERSUSUN
Noor Mohamad Akmar menambah pengurusan banjir juga kini lebih tersusun selepas kewujudan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang mengambil alih tugasan itu daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menjelaskan PKO Skuadron 10, Noor Mohamad Akmar berkata pusat itu yang dibuka sejak sebulan lepas dilengkapi dengan maklumat lengkap kawasan landasan helikopter di semua daerah di Pahang.
Bilik itu juga dilengkapi dengan komputer yang menerima imej satelit daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi memantau perkembangan banjir, selain mereka dibenarkan untuk menanda peta jika terdapat banjir hasil daripada pemerhatian mereka.
Selain itu, Noor Mohamad Akmar berkata pangkalan udara itu akan dijadikan sebagai pusat pengumpulan bantuan untuk mangsa banjir, termasuk yang dihantar oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) jika banjir berlarutan.
“Setakat ini, kita dimaklumkan oleh PKOB negeri telah selesai menghantar bekalan makanan dan barang keperluan yang boleh bertahan selama tiga hari di semua pangkalan hadapan di seluruh daerah dan tujuh hari di Hulu Tembeling dan Pulau Tioman,” katanya.
ORANG RAMAI INGIN BANTU PERLU SENSITIF
Menurut Noor Mohamad Akmar, di Pahang terdapat 686 pusat pemindahan banjir yang boleh memuatkan 171,660 orang dalam satu-satu masa, dan dalam situasi kawasan itu tidak mempunyai tempat pendaratan helikopter, bantuan akan diturunkan menggunakan kaedah ‘winching’.
Beliau memaklumkan selain bertindak sebagai pusat kawalan helikopter, Pangkalan Udara Kuantan juga menjadi pusat pengumpulan barangan bantuan bagi mangsa banjir.
Bagi tujuan itu, pihaknya telah menyediakan dua buah bangunan dan memasang enam khemah tambahan untuk meletakkan barangan yang diterima, sama ada daripada agensi kerajaan, swasta atau yang dihantar sendiri oleh individu yang mahu melakukan kebajikan.
“Berdasarkan pengalaman lepas, kita harap orang ramai lebih sensitif dan realistik dalam memberi bantuan. Kita ada menerima pakaian yang sudah koyak teruk, tidak dibasuh dan sangat tidak sesuai untuk didermakan… seolah-olah mereka anggap ini pusat untuk membuang barang yang tidak diingini.
“Ia merumitkan keadaan kerana terpaksa memilih dan melipat semula pakaian yang diberikan. Kami mendapat bantuan Persatuan Isteri-isteri Tentera untuk melakukan tugasan itu, yang sebenarnya boleh dielakkan jika semua bekerjasama,” katanya. – BERNAMA