RESEPSI perkahwinan yang mewah dan eksklusif sering menjadi trend pilihan pasangan pengantin baharu akhir-akhir termasuklah Mawar Rashid dan Raf Yaakob.
Baru-baru ini, majlis resepsi pasangan itu menjadi sebutan netizen apabila kek perkahwinan mereka berjaya ‘mencuri’ tumpuan ramai tetamu yang datang malah tular menerusi media sosial.
Khabarnya, kek tersebut mungkin berjaya memecah rekod sebagai kek perkahwinan paling tinggi yang pernah dipamerkan dalam resepsi persandingan di Malaysia.
Mana tidaknya, kek yang diberi nama Enchanted Rose itu berukuran setinggi 3.96 meter dan dihiasi dengan 7,777 biji kristal Swarovski.
Kek yang diletakkan di atas lampu gantung mewah itu telah disediakan oleh Ketua Pereka Kek SukaSucre Bistro, Azrene.
Bukan hanya kek tersebut menjadi perhatian ramai, malah, persembahan daripada pengantin perempuan turut menjadi bualan netizen.
Mawar yang dibantu dua rakannya telah mempersembahkan tarian buat suaminya, Raf Yaakob. Kemudian, pasangan itu kembali menghangatkan majlis tersebut dengan tarian mereka sebelum ahli keluarga turut serta.
Majlis yang bertemakan Enchanted Garden itu diserikan lagi dengan alunan suara daripada abang kepada pengantin lelaki, iaitu Fazley Yaacob, Imran Ajamain dan Amira Othman.
Majlis resepsi itu telah berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby di ibu negara pada Jumaat yang lalu.
Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid telah bernikah dengan Raden Ahmad Faizal Yaakob dengan sekali lafaz pada 9 November lalu di Kuala Lumpur. – MYNEWSHUB.CC/SA