KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya jika disahkan susu rumusan bayi yang dipercayai tiruan itu disahkan palsu oleh Jabatan Kimia, demikian persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Henry Sum Agong berkata buat masa ini pihaknya masih menunggu analisis kimia terhadap sampel susu rumusan bayi yang dirampas di Johor, Khamis lepas.
“Produk tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia dan tindakan sewajarnya akan diambil apabila terdapat pengesahan bahawa susu formula itu palsu. Sama-sama kita tunggu laporan daripada pihak Jabatan Kimia untuk pengesahan dan akan diberitahu kepada umum,” katanya semasa menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2018 bagi kementeriannya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada saranan beberapa senator yang mahu kerajaan bertindak mengarahkan syarikat berkenaan menarik balik kesemua produk terbabit dari pasaran bagi memastikan ketulenannya.
“Tidak mencukupi syarikat terbabit hanya mengeluarkan cara untuk mengenal pasti susu rumusan palsu di laman Facebook,” kata Senator Datuk Fahariyah Md Nordin yang mencelah penggulungan Sum.
Beliau juga mahu susu yang ditarik balik itu dibungkus semula dan ditandakan dengan pelekat bagi menunjukkan ia produk tulen.
Media baru-baru ini melaporkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merampas 210 kotak susu rumusan bayi disyaki tiruan bernilai RM42,000 susulan aduan mengenai seorang bayi mengalami muntah teruk selepas menggunakan produk itu Khamis lepas.
Rampasan itu hasil pemeriksaan KPDNKK di lima kedai ubat-ubatan dan serbaneka di sekitar Iskandar Puteri dan Skudai di Johor.
Sementara itu, Senator Datuk Hanafi Mamat pula mencadangkan agar kerajaan mengeluarkan amaran mengambil tindakan terhadap pihak yang menjual susu palsu terbabit. – BERNAMA