JOHOR BAHRU – Pusat Transformasi Bandar (UTC) Selangor dan Pulau Pinang dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya dalam tempoh enam bulan pertama tahun depan.
Pengarah Unit Strategi Nasional Kementerian Kewangan Datuk Dr Aminuddin Hashim berkata lokasi UTC di Selangor adalah di Shah Alam, manakala di Pulau Pinang pula masih dalam penilaian.
“Tempoh bagi pembinaan UTC di sesuatu tempat sebenarnya adalah 10 minggu dan tidak boleh melebihi enam bulan kerana masyarakat khususnya, memerlukan perkhidmatan pusat transformasi ini dengan segera.
“Kewujudan UTC di Selangor dan Pulau Pinang itu nanti akan melengkapkan operasi UTC di semua negeri di Malaysia,” katanya selepas majlis pra pelancaran UTC Pasir Gudang di sini hari ini yang disempurnakan Pegawai Kewangan Negeri Johor A Rahim Nin.
Aminuddin berkata hingga kini seramai 55 juta penduduk seluruh negara menikmati perkhidmatan dan kemudahan kerajaan yang menempatkan hampir 30 agensi kerajaan, swasta dan NGO di UTC.
Sementara itu, A Rahim berkata dengan kepadatan penduduk di Pasir Gudang seramai 420,000 orang, maka UTC Pasir Gudang yang terletak di Kompleks Pusat Bandar Pasir Gudang dijangka mampu menampung limpahan pelanggan di UTC Johor Bahru.
“Hasrat Menteri Besar Johor untuk membangunkan UTC Pasir Gudang bagi memberi perkhidmatan setempat kepada penduduk Pasir Gudang khasnya dan penduduk kawasan Pengerang serta Kota Tinggi menjadi kenyataan.
“Tempoh yang diambil hingga pembukaan UTC ini hari ini hanya lapan minggu,” katanya.
UTC Pasir Gudang iaitu UTC ke-21 dan dibina dengan kos RM23 juta itu akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Jan hadapan. – BERNAMA