KUALA LUMPUR – Kebolehan tinggi untuk melakukan penyelidikan dan penambahbaikan ranking akan membantu meningkatkan kebolehgajian siswazah Universiti Teknologi Petronas (UTP), kata Pemangku Naib Canselor, Prof Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib.
UTP telah menubuhkan institut penyelidikan dalam bidang pengangkutan, infrastruktur, alam sekitar, pembangunan lestari, sistem dan kesihatan dan baru-baru ini menduduki ranking antara 101 universiti teratas dalam QS Asia University Ranking daripada 400 institusi di 17 negara.
Mohamed Ibrahim berkata demikian selepas melancarkan album gamelan UTP berjudul Gantra Kedua, yang memuatkan sembilan lagu oleh kumpulan gamelan universiti itu, Sanggar Kirana.
“Album yang dihasilkan itu menjadi bukti tentang visi UTP untuk melahirkan siswazah serba boleh, yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik, tetapi juga dalam bidang seni dan budaya,” katanya.
Kumpulan gamelan universiti itu ditubuhkan pada 2002 untuk mempromosikan budaya dan mengakrabkan muzik tradisional dengan pelajar universiti, hingga terhasillah album sulung mereka berjudul ‘Gatra Pertama’ pada 2013.
Sejak penubuhannya, kumpulan itu mengadakan persembahan di pelbagai negara termasuk di Indonesia dan United Kingdom. – BERNAMA