ALOR SETAR – Universiti Utara Malaysia (UUM) menyerahkan sepenuhnya kepada polis bagi menyiasat kejadian kereta Perodua Myvi milik Yang Dipertua (YDP) Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) universiti itu disimbah dan diconteng cat hari ini.
Naib Canselornya Prof. Datuk Seri Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata pihaknya tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu dan yakin pihak berkuasa akan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.
“Mungkin ada pihak yang dengan sengaja cuba mewujudkan keadaan seperti itu, kita akan membantu pihak berkuasa menyiasat perkara ini dan biar polis ambil tindakan dan dakwa mereka yang bersalah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Awal pagi tadi, kereta milik Muhammad Luqman Ismail, 22, yang diletakkan di Inapan Siswa di UUM itu disimbah dengan cat merah selain diconteng dengan perkataan sepert ‘Macai HEP’ (Hal Ehwal Pelajar).
Muhammad Luqman yang merupakan penuntut tahun tiga Sarjana Muda Pengurusan Awam itu berkata, berkata beliau menyedari kejadian tersebut pada 9.30 pagi tadi sewaktu hendak menghadiri kelas sebelum bertindak menghubungi naib canselor bagi memaklumkan kejadian.
Beliau kemudian membuat laporan polis pada 1 tengah hari tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu bersama beberapa pimpinan tertinggi universiti.
Muhammaq Luqman dipilih menjadi YDP MPP pada September lalu.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Supt. Mohd Ismail Ibrahim mengesahkan menerima laporan berkenaan dan siasatan sedang dijalankan. – BERNAMA
*Video di bawah sekadar hiasan…