SYUKUR… Vokalis kumpulan Pretty Ugly, Neves selamat mendirikan rumah tangga dengan pilihan hatinya, Noorliana Umar dalam majlis pernikahan diadakan di Petaling Jaya, Selangor hari ini.
Neves atau nama lengkapnya, Raizan Zainal Abidin, 43, dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Umar Ackiyak dan disaksikan oleh Penolong Pendaftar Nikah Masjid Al-Makmuriah Daerah Petaling, N. Mastori Marsidi.
Neves ketika dihubungi media tempatan dilaporkan berkata, dia berasa sangat teruja dan bersyukur kerana majlis pernikahannya yang berlangsung di Surau Damansara Perdana pukul 11.47 pagi Ahad berjalan dengan lancar.
“Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan agak baik seperti yang dirancang oleh kedua-dua belah pihak. Saya berharap ikatan kami ini akan kekal sehingga ke akhir hayat, insya-Allah,” kata beliau.
Pada majlis tersebut, Neves turut memberikan seutas rantai emas sebagai mas kahwin kepada Noorliana, 36, manakala wang hantaran beliau pula dirahsiakan jumlahnya.
Penyatuan pasangan itu turut dihadiri 100 tetamu yang terdiri daripada kaum keluarga dan kenalan kedua-dua belah pihak. Neves dan Noorliana berkenalan pada 2015 ketika mereka menyertai pertandingan larian di ibu kota.
Pretty Uggly ini yang dianggotai oleh Neves sebagai penyanyi uatama, Net (pemain dram), J (pemain gitar) dan Ashraf (pemain gitar bass) ditubuhkan pada 1997 lalu dengan nama asalnya ialah Seven.
Namun apabila menandatangani kontrak dengan KRU Records, nama ditukar kepada Pretty Ugly disebabkan pada ketika itu Sheila On 7 dari Indonesia sedang popular dan turut dirujuk sebagai Seven oleh peminat tegarnya.
Rasional nama baharu itu adalah untuk mengelakkan kugiran tempatan berkenaan daripada dituduh konon cuba menumpang kemashyuran Sheila On 7. – Agensi/Mynewshub.cc//HAA