SHAH ALAM – Kira-kira 5,000 warga Selangor dari pelbagai kaum dan agama berhimpun di Dataran Mayang, Seksyen 16, di sini bagi menzahirkan kesetiaan dan mempertahankan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Perhimpunan rakyat ‘Daulat Tuanku’ yang bermula pada 9.30 pagi itu bertujuan mempertahankan dan menzahirkan daulat kepada baginda berikutan kenyataan anggota DAP Datuk Zaid Ibrahim menghina Sultan Selangor menerusi Twitter baru-baru ini.
Ia juga sebagai mengecam Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad ekoran kenyataan menghina etnik Bugis yang telah mengguris hati baginda dan mendesak tindakan tegas diambil terhadap kedua-dua ahli politik itu.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Tan Sri Noh Omar berkata himpunan itu yang dianjurkan pimpinan BN negeri di semua peringkat menuntut kerajaan PKR Selangor melarang Zaid dan Dr Mahathir berucap di mana-mana kawasan atau premis di Selangor.
“Polis juga tidak harus mengeluarkan sebarang permit bagi Zaid dan Dr Mahathir berucap di mana-mana perhimpunan dan pentas politik di Selangor,” katanya ketika berucap pada himpunan itu yang disambut oleh sorakan gemuruh rakyat Selangor.
Turut hadir beberapa pemimpin BN dan badan bukan kerajaan Selangor.
Noh yang juga penasihat himpunan itu berkata pihaknya mahu Zaid dan Dr Mahathir memohon maaf secara terbuka kepada Sultan Selangor dan disiasat di bawah Akta Hasutan.
Beliau berkata kerajaan negeri pimpinan PKR dilihat tidak berbuat apa-apa dalam mempertahankan baginda susulan kenyataan Dr Mahathir yang didakwa menghina etnik Bugis hingga menyebabkan Sultan murka, lebih-lebih lagi menjelang Hari Keputeraan baginda yang disambut esok. – BERNAMA