“CARI sampai lubang cacing!”… Itulah antara ayat seorang wakil perwakilan ketika berbahas pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di ibu negara hari ini.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Mohd. Nashrol Hisham Abdullah malah ketika berbahas menggesa pihak berkuasa untuk menyiasat sebuah portal tempatan yang didapati giat menyerang kepimpinan UMNO.
“Kita minta pihak berwajib jangan biar penghinaan ini terus berlaku, Pulau Pinang mahu siasatan dilakukan, siapa di belakang dan jadi sumber portal ini, kita mahu tindakan diambil,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau juga mencadangkan agar Biro Agama UMNO menyediakan laman sesawang berbentuk dakwah bagi jawab sebarang isu tersebar sebagai rujukan rakyat dalam mencari kebenaran fakta berkaitan agama.
“Hari ini kita lihat banyak isu agama dibangkit dan dibincangkan di Facebook yang mendapat pelbagai ulasan dan provokasi termasuk oleh ‘keyboard warrior‘ dan ‘ustaz jadian’.
“Jadi kita tidak mahu rakyat terkeliru dan mendapat maklumat yang salah berkaitan apa sahaja isu berkaitan agama, jadi adalah wajar satu portal dakwah ini dapat diwujudkan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut memberi cadangan agar golongan guru Kelas Al-Quran, Fardu Ain, Bahasa Arab (KAFA) juga diberikan jawatan tetap dan kontrak seperti pengajar di sekolah aliran biasa.
“Ada guru KAFA yang sebelah pagi bekerja membawa van, ada yang jual nasi lemak, petang pula mengajar, dengan elaun RM900 yang diterima itu memang tidak mencukupi untuk mereka hidup.
Jadi kita memohon supaya 33,000 guru KAFA yang ada di seluruh negara dapat diserap ke perjawatan tetap,” cadang Mohd. Nashrol.
Wakil pemuda itu berkata demikian ketika membahaskan usul agama dan pendidikan ketika bersidang pada hari terakhir di Perhimpunan Agung UMNO ke-71 di PWTC. – MYNEWSHUB.CC/AM