KLANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kemurkaan terhadap ahli DAP, Datuk Zaid Ibrahim dan dalam nada keras, baginda menyifatkan beliau sebagai biadab.
Baginda yang jelas berdukacita dengan tindak-tanduk Zaid itu bertitah, tokoh pembangkang itu sengaja putar-belit kenyataannya mengenai isu Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Malah tanpa berselindung, Sultan Sharafuddin mengingatkan ahli DAP tersebut agar pulang sahaja ke Kelantan, jika tidak bersetuju dengan teguran baginda dalam isu Mahathir sehingga sanggup buat kenyataan yang bersifat biadab.
“Saya dukacita dengan komen Zaid dalam Twitternya yang mengulas titah saya (mengenai Mahathir) dalam akhbar The Star. Saya minta Zaid baca dengan teliti kenyataan saya dan dapatkan fakta yang betul sebelum buka mulut.
“Dia duduk di Selangor, baliklah Kelantan kalau tak setuju, buat rumah besar dan tolong rakyat Kelantan. Jangan cari rezeki di Selangor,” titah baginda dalam temubual bersama akhbar tempatan di Istana Alam Shah di sini.
Sultan Sharafuddin menerusi wawancara khas dengan The Star menyatakan kebimbangan baginda terhadap tindakan pihak tertentu yang sengaja eksploitasi isu kaum, agama dan perkara sensitif dalam usaha meraih undi.
Titah baginda, tindakan seumpama itu dilihat akan meletakkan negara ke arah kehancuran, yang mana isu tersebut sentiasa menjadi perkara yang dibincangkan serta dibimbangi oleh kesemua sembilan raja Melayu.
Dalam wawancara itu, baginda menegur Mahathir yang sebelum ini hina etnik Bugis dengan menyifatkan beliau sebagai pemimpin yang ada sifat inferiority complex (rendah diri) serta diselubungi perasaan kebencian.
Bagaimanapun pandangan baginda dipertikai Zaid apabila bekas menteri itu dipetik sebagai berkata: “Sultan Selangor seharusnya lebih berhati-hati dengan kata-katanya. Tidak ada sesiapa yang kebal apabila negara terbakar.”
Mengulas tuduhan itu, Sultan Sharafuddin mengingatkan Zaid agar tidak perlu ajar kerana baginda memang cukup berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan dan teguran ke atas Mahathir dibuat atas kapasiti sebagai raja.
Titah berkenaan malah bukannya bermotifkan politik tetapi apa yang berlaku, Zaid dengan kurang ajar cuba mengheret baginda kepada isu berbaur politik pula apabila menulis komen menerusi akaun sosial Twitter.
“Saya sedar, Zaid selalu mengeluarkan komen yang tidak benar dan tidak tepat mengenai saya, dari dulu. Zaid adalah seorang ahli politik serta bekas menteri dan saya faham dari dulu lagi Zaid kuat menentang institusi raja.
“Nasihat saya kepada Zaid satu sahaja, janganlah kita jadi seperti kacang lupakan kulit dan janganlah musnahkan orang Melayu. Saya percaya Zaid tahu apa yang saya maksudkan,” titah baginda lagi. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA