KUALA LUMPUR – Dua beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan sengaja menyembunyikan maklumat berkaitan kumpulan pengganas Abu Sayyaf.
Ahmad Omar, 53, dan anaknya, Jaffar Ahmad, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.
Mengikut pertuduhan, Jaffar yang bekerja sebagai buruh binaan dan Ahmad seorang pengawal keselamatan, didakwa dengan sengaja menyembunyikan maklumat berkaitan dengan kumpulan pengganas Abu Sayyaf yang mana mereka terikat di sisi undang-undang untuk memberi maklumat tersebut.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di MAG-03 Persiaran Pangsa Baiduri, Taman Desa Baiduri, Hulu Langat, Selangor pada 1 Mac 2017 hingga 30 Ogos 2017.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Syazwani Mohamad Sobry manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 21 Mac ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam. – BERNAMA