TAWAU – Dua lelaki dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas masing-masing mengaku bersalah memiliki wang kertas palsu RM100, pada 11 Jan lepas.
Mohd Rafiq Chin Abdullah, 48, mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki 10 keping wang kertas palsu RM100 di hadapan Majistret Ferhansha Farene Mohd Ferdaus manakala Sim Kee Fah, 29, mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki lima keping wang kertas palsu RM100 di hadapan Majistret Mohammad Faisal Che Saad.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Rafiq dan Sim ditahan di tepi jalan Bombalai-Tawau pada 11 Jani lepas, pukul 5.31 petang dan didapati dalam kawalan memiliki 10 keping serta lima keping wang kertas RM100 yang disahkan oleh Bank Negara Malaysia Cawangan Kota Kinabalu adalah palsu, selain kedua-duanya berniat menggunakan wang tersebut sebagai tulen.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, jika sabit kesalahan.
Perdakwaan kes Mohd Rafiq dikendalikan Pegawai Pendakwa ASP Dayang Nur Azarinahwaty Ag Kachee manakala bagi kes Sim, diuruskan Pegawai Pendakwa ASP Nur Intan Jamrin. – BERNAMA